WILAYAH - SARAWAK > BERITA

JKNNS Seru Orang Ramai Terus Derma Darah Sepanjang Ramadan

18/02/2026 05:55 PM

SEREMBAN, 18 Feb (Bernama) -- Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) menyeru orang ramai untuk terus menderma darah termasuk pada Ramadan, kata Pengarahnya Dr Zuraida Mohamed.

Beliau berkata ia bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi terutama bagi kegunaan kecemasan, pembedahan dan rawatan penyakit kronik selain pesakit yang memerlukan transfusi darah secara berkala.

“Pendermaan darah ketika Ramadan adalah selamat dan boleh dilakukan pada waktu sesuai, iaitu sebelum 9 pagi dengan syarat melewatkan sahur atau selepas berbuka puasa. Malah, ramai penderma darah hadir pada waktu malam kerana keadaan lebih selesa.

“Kita harap masyarakat terus menderma, jangan bimbang kerana prosedur dijalankan adalah selamat serta dipantau petugas kesihatan terlatih,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dr Zuraida berkata penderma turut dinasihatkan supaya mendapatkan rehat secukupnya dan mengambil makanan yang seimbang sebelum dan selepas menderma darah bagi memastikan tahap kesihatan berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata setiap beg darah yang didermakan amat bermakna dan berpotensi menyelamatkan beberapa nyawa sekali gus mencerminkan semangat keprihatinan khususnya ketika Ramadan yang penuh keberkatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan