WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mahkamah Tinggi Tolak Rayuan Dua Individu Berhubung Aktiviti Pasaran Modal Tanpa Lesen

20/02/2026 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan dua individu terhadap hukuman penjara setahun dan denda RM1 juta oleh Mahkamah Sesyen pada 2022 atas kesalahan berkaitan menjalankan aktiviti pasaran modal terkawal tanpa lesen.

Menurut kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin ketika menolak rayuan Su Eng Kooi dan Yap Choong Seong berkata tiada kesilapan undang-undang atau fakta oleh Mahkamah Sesyen dan sabitan tersebut selamat.

Mahkamah seterusnya bersetuju bahawa hukuman yang dikenakan ke atas kedua-dua mereka tidak berlebihan sehingga memerlukan campur tangan rayuan.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan terakhir kepada Mahkamah Rayuan.

Su dan Yap didakwa di Mahkamah Sesyen pada 5 Julai 2017 dengan dua pertuduhan masing-masing mengikut Seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dibaca bersama Seksyen 367(1) akta sama.

Pertuduhan berkaitan pengendalian Jalatama Management Sdn Bhd semasa menjalankan perniagaan perdagangan dalam kontrak niaga hadapan dan berurusan dalam derivatif tanpa Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal.

Perayu yang juga pegawai Jalatama ketika kejadian melakukan kesalahan itu dalam tempoh antara Julai 2011 hingga September 2013.

Kedua-duanya didapati bersalah dan disabitkan kesalahan di Mahkamah Sesyen pada 12 Dis, 2022 selepas perbicaraan penuh.

Su dan Yap masing-masing dijatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM1 juta serta penjara satu tahun jika gagal membayar denda.

Dalam kenyataan itu, suruhanjaya berkenaan melihat penghakiman tersebut secara positif selain mengingatkan bahawa berurus niaga dalam derivatif ialah aktiviti terkawal dan mana-mana orang yang menjalankan perniagaan dalam aktiviti terkawal memerlukan lesen daripada SC di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Suruhanjaya itu diwakili Timbalan Pendakwa Raya SC Annarina Chacko Jacob serta pegawai pendakwa Mohd Shafiq Azman, Mark Rohan Mahadevan dan Danial Imran Nasaruddin.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan