WILAYAH - UTARA > BERITA

Kematian Truper Indiran: Ibu Minta Henti Spekulasi, Jangan Cemar Nama ATM

21/02/2026 11:01 AM

GEORGE TOWN, 21 Feb (Bernama) -- Ibu mendiang anggota tentera Truper K. Indiran meminta orang ramai berhenti membuat sebarang andaian dan spekulasi berhubung kematian anaknya hingga mencemarkan nama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

S. Usha, 52, berkata kematian anak sulung daripada empat beradik itu tidak mempunyai unsur buli atau penderaan dan bedah siasat menunjukkan tiada kecederaan fizikal terhadap tubuh mendiang selain dirinya tidak pernah mengatakan anaknya dibuli. 

“Ketika menerima berita mengejut anak berada dalam keadaan kritikal saya cuma fikirkan sesuatu yang buruk telah berlaku. Tetapi, selepas menerima pengesahan hasil bedah siasat tiada unsur dia (Indiran) dibuli, dipukul atau dicederakan.

“Fizikalnya sangat normal. Jadi jangan cemarkan nama ATM sebab itu (dakwaan buli) tidak betul. Kita tunggu sahaja siasatan seterusnya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Taman Sri Nibong di sini awal pagi tadi.

Usha berkata ketika ini siasatan dalaman lanjut termasuk ujian tertentu bagi mengetahui punca sebenar kematian Indiran sedang dijalankan yang dijangkakan mengambil masa antara tiga hingga empat bulan.

Wanita itu berkata mendiang tidak mempunyai sebarang penyakit ketika menyertai ATM menyebabkan mereka terkejut dengan kejadian tersebut, namun reda menerima pemergian anak yang menghubunginya setiap hari untuk memaklumkan pergerakannya di kem.

Usha berkata latihan lasak dalam badan beruniform, terutamanya tentera ialah perkara biasa tetapi ia tidak boleh disamakan dengan buli.

“Mendiang bapanya anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan menjalani latihan yang lasak. Indiran juga beritahu latihan memang teruk dan susah tetapi itu biasa untuk menguji ketahanan, bukan buli atau pukul sampai berdarah,” katanya.

Usha berkata kehilangan dua insan tersayang ketika dalam perkhidmatan meninggalkan kesan amat mendalam namun dirinya tidak akan menghalang jika anaknya terutama anak ketiga yang berusia 17 tahun mahu menyertai pasukan beruniform.

Terdahulu suasana hiba menyelubungi rumah itu apabila kenderaan ATM yang membawa jasad Indiran tiba di pekarangan rumah pada 1.45 pagi bagi penghormatan terakhir sebelum dikebumikan bersebelahan pusara bapanya di Tanah Perkuburan India Batu Lanchang kira-kira 2 petang ini.

Mendiang ialah anak kepada Mejar C. Kayamboo iaitu juruterbang TUDM yang maut dalam nahas pesawat TUDM jenis Beechcraft B200T yang berlepas dari Pangkalan TUDM Subang sebelum terhempas berhampiran Terminal Peluru Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada 2016.

Pada 18 Feb, Indiran, 22, yang sedang mengikuti kursus kru Armor di Kem Batu 10 Kuantan, Pahang ditemukan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan disahkan meninggal dunia sehari kemudian ketika menerima rawatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan