WILAYAH - TIMUR > BERITA

Masjid Perlu Diimarah, Bukan Hak Eksklusif Mana-Mana Pihak - Sultan Pahang

21/02/2026 10:36 AM

KUANTAN, 21 Feb (Bernama) -- Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh kariah agar menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti masyarakat yang hidup dan berdaya saing.

Baginda turut mengingatkan umat Islam bahawa masjid bukan sekadar mercu tanda keindahan seni bina yang megah pada pandangan mata tetapi jauh lebih daripada itu, ia adalah jantung kehidupan ummah.  

“Imarahkanlah dengan solat berjemaah yang istiqamah, majlis ilmu yang menyuburkan akal dan jiwa serta aktiviti kebajikan yang mengeratkan ukhuwah sesama kita. 

“Janganlah kita biarkan masjid ini hanya tersergam indah pada rupanya namun sunyi daripada pengisian rohani dan kehangatan persaudaraan,” titah baginda bersempena dengan Majlis Perasmian Masjid Kampung Teluk Gading di Rompin semalam yang dimuat naik menerusi hantaran di laman Facebook Kesultanan Pahang. 

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan umat Islam supaya tidak sesekali menjadikan masjid sebagai hak eksklusif mana-mana kelompok sehingga menyebabkan sebahagian masyarakat berasa terpinggir atau tidak didekati. 

“Pastikan pengurusan masjid dilaksanakan dengan penuh amanah, telus dan berintegriti supaya masjid ini benar-benar menjadi payung kesejahteraan, perpaduan dan kesejahteraan ummah seluruhnya,” titah baginda. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan