WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rapid Rail Panjangkan Waktu Perkhidmatan Sepanjang Ramadan - Loke

23/02/2026 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan memanjangkan tempoh perkhidmatan rel pada waktu puncak sepanjang bulan Ramadan ini bagi menampung perubahan corak perjalanan penumpang, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata pelarasan itu melibatkan lanjutan waktu puncak pagi bermula 6.30 hingga 9.30 pagi berbanding 7 hingga 9.30 pagi pada bulan biasa, manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari 4 petang hingga 8 malam berbanding 5 petang hingga 7.30 malam.

“Langkah ini dilaksanakan bagi memastikan kelancaran perkhidmatan, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi khususnya dalam mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang bertanya sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail, anak syarikat Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), akan diubah sempena bulan Ramadan berikutan perubahan pola pergerakan penumpang.

Menjawab soalan tambahan Syahredzan mengenai kesiapsiagaan menghadapi gangguan perkhidmatan sepanjang Ramadan, Loke berkata perkara itu dilaksanakan sepanjang masa dan tidak terhad kepada bulan Ramadan sahaja.

“Namun, kita mengamalkan penyelenggaraan ramalan dan pencegahan sekarang iaitu untuk memastikan penyelenggaraan secara berkala kepada sistem kita dan juga (penyelenggaraan) kepada tren kita berjalan sepanjang masa untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya gangguan,” katanya.

Beliau berkata walaupun gangguan teknikal sukar diramal, pelbagai langkah mitigasi diambil termasuk penempatan kakitangan teknikal dalam tren serta latihan pengurusan stesen bagi mengawal pergerakan penumpang dan mengurangkan kesesakan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai keberkesanan penyelenggaraan dan komitmen terhadap petunjuk prestasi utama (KPI), Loke berkata jumlah insiden gangguan rel menunjukkan penurunan ketara sejak 2022.

“Jadi memang ada penambahbaikan berterusan dan ini menunjukkan bahawa langkah mitigasi yang diambil oleh pihak Prasarana untuk memastikan penyelenggaraan ini dibuat dengan lebih baik telah pun membuahkan hasil.

“Kita meletakkan satu KPI bahawa kalau lebih daripada lima minit tren tidak berjalan, itu dikira gangguan. Jadi kita nak memastikan bahawa kalau berlaku gangguan, ia dapat dibaik pulih dengan secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan dan Prasarana akan terus menambah baik aspek komunikasi dan pengurusan penumpang bagi memastikan perkhidmatan rel lebih cekap serta diyakini rakyat.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan