KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Tokoh kewangan Islam Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan bersubahat menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen.
Mohd Daud, 62, yang juga bekas Pengerusi Majlis Penasihat Shariah (SAC) Bank Negara Malaysia (BNM) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.
"Faham, saya mohon dibicarakan," katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Daud didakwa sebagai wakil syarikat Energy Eco Berhad bersubahat dengan AUF MBZ Consortium PLT, yang menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti, sedangkan AUF MBZ bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan bukan juga individu berdaftar bagi aktiviti terkawal berkenaan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 14 Jun 2021 hingga 9 Ogos 2023 di C6-1, Jalan Reef 1/2, Pusat Perniagaan Reef, Rawang dalam Daerah Gombak, Selangor.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (Akta 671) dibaca bersama Perenggan 370 (c) dan Subseksyen 367(1) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta berkenaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Shoba Venu Gobal mencadangkan jaminan RM200,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
"Ini merupakan kesalahan serius yang berkaitan dengan bersubahat. Tertuduh merupakan wakil (syarikat) Energy Eco Berhad ketika kejadian," katanya.
Peguam Mohd Haziq Razali yang mewakili Mohd Daud memohon supaya jaminan dikurangkan kepada RM50,000 dan tidak membantah syarat tambahan ditetapkan pendakwaan memandangkan anak guamnya memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan bermula pada 2024.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohd Daud diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.
Sementara itu, di mahkamah sesyen berasingan, usahawan Datuk Mahadi Badrul Zaman, 43, mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menjalankan perniagaan sekuriti tanpa lesen sah.
Mahadi membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan itu dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Norma Ismail dan Azrul Darus.
Mengikut kedua-dua pertuduhan, suami kepada selebriti Datin Heliza Helmi itu didakwa sebagai wakil AUF MBZ Consortium PLT telah menjalankan perniagaan dalam sekuriti sedangkan syarikat itu bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan tidak berdaftar bagi menjalankan aktiviti terkawal tersebut.
Kesalahan dilakukan di sebuah villa di Sunway South Quay, Subang Jaya antara 3 Sept 2021 dan 15 Feb 2024.
Pertuduhan dibuat mengikut subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007(Akta 671) dibaca bersama Subseksyen 367(1) akta sama, yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 58(4) akta berkenaan, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda sehingga RM10 juta atau kedua-duanya sekali.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa SC Danial Imran Nasaruddin mencadangkan jaminan RM250,000 dengan dua penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC dan menyerahkan pasport kepada mahkamah, memandangkan kesalahan itu dianggap serius.
Peguam Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus yang mewakili Mahadi bagaimanapun memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya tiada risiko untuk melarikan diri selain menanggung seorang isteri dan keluarga.
Hakim Azrul Darus dan Norma Ismail membenarkan Mahadi diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan serta syarat tambahan seperti dipohon pendakwaan.
Dalam prosiding berasingan, Pengarah Syarikat QEW Group Berhad Muhamad Iqbal Mohamad, 47, turut didakwa bersubahat dengan AUF MBZ dan didakwa di bawah Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007(Akta 671) yang memperuntukkan hukuman sama.
Beliau turut mengaku tidak bersalah dan dibenarkan ikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SC dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 10 April depan untuk sebutan kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial