KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) memperuntukkan RM5 juta melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi melaksanakan usaha pemerkasaan kebolehpasaran graduan serta pencari kerja di institusi pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negara.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata peruntukan itu juga digunakan bagi mengendali dan menaik taraf Pusat Eksplorasi Kerjaya MYFutureJobs (MYCEC) iaitu pusat penerokaan yang meningkatkan kesedaran diri melalui penilaian personaliti berasaskan permainan.
Beliau berkata hab imersif yang menggunakan kecerdasan buatan itu bertujuan membantu pencari kerja memadankan kemahiran dengan peluang pekerjaan bersesuaian memandangkan hampir 2 juta pekerja di Malaysia kini berdepan masalah ketidakpadanan kerjaya.
Ramanan berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis pelancaran The First Immersive MYFutureJobs MYCEC in Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi PERKESO Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Pada majis itu, satu Memorandum Persefahaman (MoU) turut ditandatangani antara PERKESO dan RHB Bank bagi meluaskan jangkauan program tersebut yang akan melibatkan 618,000 pengguna RHB khususnya RHB Islamic.
Ramanan berkata inisiatif itu selari dengan perkembangan positif pasaran buruh negara di mana kadar pengangguran ketika ini berada pada tahap 2.9 peratus, iaitu yang terbaik dalam tempoh 11 tahun.
"Selepas kejayaan hab ini, PERKESO mungkin membuat kajian sama ada hab-hab sebegini akan dibuka di Pulau Pinang, Johor, dan juga negeri lain," katanya.
Beliau berkata PERKESO menyasarkan penempatan pekerjaan untuk 200,00 orang setiap tahun sejak 2020, dengan kira-kira 12,000 pencari kerja telah berjaya mendapat manfaat menerusi program itu hingga Februari ini.
"Pada tahun lepas, kita berjaya mendapatkan 208,000 penempatan pekerjaan dan setakat ini, terdapat 3.1 juta pencari kerja dalam pangkalan data PERKESO," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial