ISKANDAR PUTERI, 23 Feb (Bernama) -- Polis sedang mengesan seorang individu yang memandu kereta secara melulu dan melarikan diri daripada ditahan di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Tanjung Kupang di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP M Kumarasan berkata pihaknya menerima laporan daripada polis bantuan kompleks berkenaan pada 2.40 petang.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta bernombor pendaftaran Malaysia itu dikesan memasuki laluan kenderaan berat di pintu 'Gate C' bagi laluan masuk dari Malaysia ke Singapura.
"Pemandu tersebut diarahkan untuk membuat pusingan U ke laluan kenderaan ringan, namun dia terus memecut laju hingga melanggar palang milik pos pemeriksaan Jabatan Imigresen serta empat kon yang berada di laluan tersebut.
"Tindakan mengesan suspek masih dijalankan. Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumarasan memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian agar menyalurkan ke balai polis berhampiran atau Pusat Kawalan Daerah Iskandar Puteri di talian 07-5113622 atau Hotline 07-5114486.
Terdahulu, tular satu video berdurasi 33 saat yang dimuat naik di media sosial Facebook sebuah kereta dipandu secara melulu di kawasan pemeriksaan sempadan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial