WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Lelaki Berdepan Hukuman Mati, Edar Dadah Lebih 30 Kg

23/02/2026 05:00 PM

TAMPIN, 23 Feb (Bernama) -- Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 30.601 kilogram pada 12 Feb lepas.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Farizul Fauzi Tukiman dan Eddy Sofian Abd Zabir masing-masing berusia 40 tahun, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Redza Azhar Rezali kerana kes di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua lelaki itu secara bersama-sama didapati mengedar dadah tersebut di tepi jalan KM 236.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) (arah selatan) di Rembau, kira-kira 3 petang, 12 Feb lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fidha Misjedi manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 31 Mac depan untuk sebutan semula kes dan laporan kimia manakala kedua-dua tertuduh tidak ditawarkan jaminan.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan