PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan pendakwah bebas Ahmad Dusuki Abd Rani untuk mendapatkan kembali tauliah mengajar agama Islam di Selangor.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Mohamed Zaini Mazlan dalam keputusan sebulat suara berkata rayuan itu hanya melibatkan keengganan Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk memberikan remedi tambahan selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman dan mengeluarkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bertarikh 10 Mac 2022 yang menarik balik tauliah mengajar Ahmad Dusuki.
“Tiada rayuan silang difailkan oleh responden (MAIS). Justeru, perintah certiorari yang diberikan kekal tidak dicabar. Satu-satunya isu di mahkamah ini ialah sama ada hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf apabila enggan memberikan relif berbentuk perisytiharan, mandamus dan ganti rugi.
“Relif dipohon bersifat budi bicara. Prinsip perundangan yang sedia terpakai menyatakan mahkamah rayuan tidak akan campur tangan terhadap pelaksanaan budi bicara melainkan dibuktikan bahawa mahkamah terdahulu bertindak atas prinsip yang salah, gagal mempertimbangkan perkara relevan atau keputusannya jelas tidak tepat,” kata Mohamed Zaini.
Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Dr Alwi Abdul Wahab dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters.
Mohamed Zaini menjelaskan bahawa panel itu terlebih dahulu akan meneliti permohonan perisytiharan yang dipohon perayu, Ahmad Dusuki, bahawa keputusan responden menarik balik tauliah mengajar berkuat kuasa 3 Mac 2022 adalah terbatal dan tidak sah.
“Mahkamah Tinggi membenarkan perintah certiorari yang membatalkan keputusan penarikan balik itu. Kesan undang-undang perintah certiorari ialah keputusan tersebut dianggap terbatal dan tidak sah sejak awal.
“Bagi penghakiman kami, perisytiharan lanjut bahawa keputusan itu ‘terbatal dan tidak sah’ tidak memberi sebarang makna tambahan. Relif perisytiharan mestilah mempunyai tujuan. Kami berpendapat hakim bicara telah bertindak tepat apabila enggan memberikan perisytiharan yang bersifat berlebihan,” katanya.
Hakim itu turut berkata isu kedua ialah perintah mandamus bagi mengembalikan tauliah mengajar perayu.
“Tauliah itu tamat tempoh pada 30 Jun 2023 secara luput masa, dan keputusan Mahkamah Tinggi disampaikan selepas ia tamat tempoh. Perintah mandamus dipohon bertujuan memaksa pelaksanaan suatu kewajipan awam yang masih berkuat kuasa. Ia tidak boleh mengembalikan semula kelulusan yang telah luput melainkan terdapat kewajipan statutori untuk mengembalikannya.
“Remedi semakan kehakiman tidak membenarkan mahkamah menggantikan keputusannya sendiri dengan keputusan pihak berkuasa dalam perkara melibatkan budi bicara. Perayu tidak mengenal pasti mana-mana peruntukan undang-undang mewajibkan responden mengembalikan tauliah mengajar yang tamat tempoh. Justeru, keengganan untuk mengeluarkan perintah mandamus adalah tepat,” katanya
Berhubung permohonan perayu untuk memaksa lanjutan tauliah mengajar tanpa perlu membuat permohonan baharu, Mohamed Zaini berkata mahkamah berpendapat relif sedemikian pada asasnya akan memintas kerangka peraturan yang mengawal selia pengeluaran tauliah berkenaan.
“Pada penghakiman kami, perintah mandamus tidak boleh digunakan untuk memaksa pelaksanaan budi bicara dengan cara tertentu atau untuk mengetepikan proses statutori. Perayu tidak membuktikan wujudnya hak undang-undang untuk pembaharuan secara automatik. Keengganan hakim Mahkamah Tinggi adalah satu pelaksanaan budi bicara yang wajar.
“Kami menerima hujahan responden bahawa surat penarikan balik yang dikeluarkan kepada perayu tidak menyatakan ia disebabkan penglibatannya dalam politik. Pada pandangan kami, dakwaan itu bersifat spekulatif oleh perayu. Walau apa pun, kami bersetuju bahawa responden berhak menetapkan peraturan sedemikian di bawah Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003,” katanya.
Mengenai tuntutan ganti rugi, hakim itu berkata berdasarkan prinsip yang kukuh bahawa suatu kesalahan undang-undang awam tidak secara automatik melayakkan seseorang untuk menuntut ganti rugi.
“Pemohon perlu membuktikan wujud satu kausa tindakan berasingan dan diiktiraf dalam undang-undang persendirian sebelum ganti rugi boleh diberikan. Perayu tidak mengemukakan hujahan mahupun bukti sebarang kausa tindakan yang boleh diambil tindakan dan diiktiraf dalam undang-undang persendirian. Tambahan pula, perayu gagal mengemukakan butiran atau bukti berhubung ganti rugi yang dituntut.
“Kami tidak mendapati sebarang kesilapan yang mewajarkan campur tangan mahkamah rayuan. Oleh itu, rayuan ditolak dengan kos sebanyak RM35,000,” katanya.
Pada prosiding di Mahkamah Rayuan hari ini, Ahmad Dusuki diwakili peguam Ashok K. Raman Nair dan Mohd Jamil Yaacob manakala peguam Arham Rahimy Hariri mewakili Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial