WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BE2026 Luas Liputan Sektor Informal Demi Data Ekonomi Lebih Inklusif - DOSM

23/02/2026 09:15 PM

PUTRAJAYA, 23 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Banci Ekonomi 2026 (BE2026) buat pertama kali diperluaskan bagi merangkumi sektor informal yang semakin penting dalam ekosistem ekonomi negara, termasuk perniagaan dalam talian, penjaja kecil, inap desa, pekerja gig dan pertubuhan bukan berasaskan keuntungan.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan langkah itu selaras prinsip “no business left behind” bagi memastikan statistik ekonomi negara lebih inklusif serta mencerminkan realiti sebenar aktiviti ekonomi rakyat.

“Pendekatan ini membantu kerajaan memahami peranan ekonomi mikro dan komuniti secara lebih menyeluruh, sekali gus membolehkan dasar pemerkasaan ekonomi dirangka dengan lebih tepat dan berkesan,” menurut kenyataan itu selepas majlis pelancaran BE2026 yang disempurnakan Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, di sini hari ini.

DOSM memaklumkan BE2026 turut menggunakan Klasifikasi Perindustrian Standard Malaysia (MSIC) 2025 yang diselaraskan dengan piawaian antarabangsa Klasifikasi Perindustrian Standard Antarabangsa (ISIC) terkini.

Penyelarasan itu membolehkan aktiviti ekonomi moden seperti robotik, pusat data, tenaga boleh diperbaharui, aset digital, ekonomi kreatif dan perkhidmatan digital diklasifikasikan dengan lebih tepat, selari perkembangan struktur ekonomi global.

Selain itu, pelaksanaannya mengambil kira prinsip di bawah Sistem Akaun Negara 2025 (2025 SNA) yang menekankan aspek ekonomi digital, globalisasi, harta intelek, kelestarian alam sekitar serta kesejahteraan rakyat melangkaui ukuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semata-mata, sekali gus memperkukuh keupayaan negara menilai kemajuan ekonomi secara menyeluruh.

“Selaras agenda pendigitalan sektor awam, BE2026 turut memanfaatkan sistem e-Mikro, borang digital ringkas, portal komunikasi banci serta platform dalam talian e-Economic Census bagi memastikan proses pembancian lebih cekap, pantas dan mesra pengguna.

“BE2026 juga diselaraskan dengan pelbagai dasar pembangunan negara termasuk Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Pelan Ekonomi Digital Malaysia, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Dasar Keusahawanan Nasional.

Menurut DOSM, data komprehensif yang dikumpul akan menjadi input penting dalam penggubalan dasar fiskal, monetari, sosial dan pembangunan, selain meningkatkan keyakinan pelabur domestik dan antarabangsa terhadap ekonomi Malaysia.

Majlis pelancaran turut dihadiri Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi Datuk Seri Nor Azmie Diron dan Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin, serta beberapa Ahli Parlimen termasuk Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mohd Uzir berkata BE2026 merupakan asas penting dalam memperkukuh sistem data ekonomi negara, khususnya ketika ekonomi global berdepan perubahan pesat didorong teknologi digital, kecerdasan buatan, automasi, perubahan demografi dan ketidaktentuan geopolitik.

Beliau berkata BE2026 meliputi lima sektor utama ekonomi iaitu pertanian; perlombongan dan pengkuarian; pembuatan; pembinaan; serta perkhidmatan, membabitkan lebih 1.34 juta pertubuhan aktif di seluruh negara.

“Pada fasa awal, sebanyak 416,942 pertubuhan mikro telah berjaya dibanci. Sektor perkhidmatan kekal mendominasi dengan 83.6 peratus, diikuti pembinaan (8.7 peratus), pembuatan (5.5 peratus), pertanian (1.9 peratus) dan perlombongan serta pengkuarian (0.2 peratus).

“Selangor, Kuala Lumpur dan Johor merangkumi hampir separuh daripada keseluruhan pertubuhan ekonomi negara, mencerminkan tumpuan aktiviti ekonomi di kawasan berpenduduk padat dan berdaya saing tinggi,” katanya.

Mohd Uzir turut menyeru semua pertubuhan perniagaan, institusi, agensi kerajaan dan pemain industri agar memberi kerjasama penuh dalam menjayakan BE2026, sambil memberi jaminan bahawa semua maklumat yang dikumpul dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan