WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lelaki Myanmar Ditahan Bantu Siasatan Kes Bunuh Rakan Senegara Di Nilai

05/03/2026 08:58 AM

NILAI, 5 Mac (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki warga Myanmar awal pagi ini bagi membantu siasatan kes bunuh rakan senegaranya, seorang wanita di asrama pekerja asing di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata suspek berusia 42 tahun itu ditahan kira-kira 12.55 tengah malam di tepi Jalan Saujana Puchong, Selangor oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibupejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Polis Daerah Nilai.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam kejadian tersebut dengan cara mengelar leher mangsa menggunakan sebilah pisau.

"Motif kejadian disebabkan suspek berhutang dengan mangsa berjumlah RM10,000. Mangsa menggugut untuk menyebarkan gambar suspek bersama teman wanitanya di Facebook sekiranya lelaki itu tidak membayar RM5,500 pada hari kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata susulan tangkapan itu, polis turut merampas beberapa barangan termasuk sehelai baju hitam, sepasang selipar, dua unit telefon bimbit serta sebilah pisau boleh laras dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan suspek kini di reman untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, polis menemukan mangsa berusia lingkungan 30-an itu dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri di tangga asrama berkenaan, selepas menerima laporan pada 11.21 malam Isnin lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan