WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Pelakon Wanita, Suami Direman Bantu Siasatan Kes Tipu Tanah Kurnia

05/03/2026 11:36 AM

SEREMBAN, 5 Mac (Bernama) -- Seorang pelakon wanita dan suami direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung kes penipuan urusan penjualan tanah lot kurniaan tidak wujud melibatkan kerugian RM1.5 juta.

Perintah reman terhadap wanita berusia 35 tahun dan suaminya 41 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Nurul Azuin Mohd Talhah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, pasangan berkenaan yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di mahkamah pada 9.18 pagi ini dengan kawalan ketat anggota polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban ACP Azahar Abdul Rahim berkata kedua-duanya ditahan di sebuah kampung di Batu 11, Hulu Langat, Selangor semalam.

Azahar berkata penahanan dilakukan susulan laporan polis diterima daripada seorang bekas ahli perniagaan berumur 56 tahun yang mendakwa ditipu dalam urusan mendapatkan tanah kurniaan Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata pengadu berurusan dengan suspek bermula September 2023 hingga November 2025 dan membuat 195 transaksi sehingga mengalami kerugian RM1.5 juta.

 Azahar berkata permohonan reman itu bagi meneruskan siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan