WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China Tetap Sasaran Pertumbuhan 4.5 Hingga 5 Peratus Bagi 2026

05/03/2026 11:50 AM

Daripada Nurhafizah Tan

BEIJING, 5 Mac (Bernama) -- China menyasarkan pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga lima peratus pada 2026, dengan tumpuan diberikan kepada pengurusan risiko dalam sektor hartanah serta hutang kerajaan tempatan.

Premier Majlis Negara, Li Qiang berkata sasaran itu digariskan ketika ekonomi kedua terbesar di dunia itu berdepan persekitaran luaran yang semakin kompleks dan permintaan domestik yang memerlukan sokongan lanjut.

"China menyasarkan untuk memperkukuh sektor utama seperti pertanian dan pembangunan luar bandar, meningkatkan inovasi dalam teknologi strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, serta komunikasi generasi seterusnya seperti 6G.

"Selain itu, inisiatif hijau dan rendah karbon akan dipergiat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan mampan," katanya semasa membentangkan Laporan Kerja Kerajaan pada sesi tahunan Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) di Beijing, pada Khamis.

Beliau berkata China akan melaksanakan dasar fiskal yang lebih proaktif, dengan anggaran defisit sekitar empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), selain penerbitan bon khas bagi menyokong projek strategik serta meningkatkan penggunaan domestik.

Li berkata China turut menyasarkan 12 juta peluang pekerjaan baharu di bandar  tahun ini, dengan kadar pengangguran bandar dijangka sekitar 5.5 peratus dan kadar inflasi pada kira-kira dua peratus.

Beliau menegaskan langkah-langkah untuk menstabilkan sektor hartanah termasuk mengawal bekalan projek baharu, mengurangkan inventori perumahan yang tidak terjual, dan meningkatkan rumah mampu milik, di samping memastikan projek yang tertunda disiapkan.

"Pengurusan hutang kerajaan tempatan akan diperkukuh, termasuk mengawal hutang tersembunyi dan menstruktur semula obligasi secara sistematik bagi mengurangkan risiko kewangan.

"Perbelanjaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) akan meningkat sekurang-kurangnya tujuh peratus setahun semasa Rancangan Lima Tahun Ke-15 (2026–2030), dengan fokus pada teknologi strategik, pembangunan hijau, dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Laporan itu turut mengetengahkan komitmen terhadap kesejahteraan rakyat melalui pemerkasaan sistem keselamatan sosial, penambahbaikan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan, serta menangani cabaran demografi termasuk populasi warga emas dan kadar kelahiran yang rendah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan