WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Raikan Ramadan Dengan Cara Sihat Dan Penuh Makna Bersama SMC

06/03/2026 11:33 AM

SHAH ALAM, 6 Mac (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway bersama komuniti di bandar raya ini menyemarakkan semangat Ramadan menerusi program Manisnya Ramadan Bersama SunMed dengan cara lebih sihat serta penuh makna.

Ketua Pegawai Eksekutif SMC Dr Seow Vei Ken berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu bukan sekadar mengagihkan bubur lambuk kepada masyarakat setempat, malah menjadi platform memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan sepanjang Ramadan.

“Kami (SMC) percaya kesihatan yang baik bermula daripada komuniti yang harmoni. Melalui program ini, kami mahu meraikan Ramadan dengan cara yang sihat dan bermakna bersama komuniti Shah Alam, yang kami anggap seperti jiran sendiri.

“Hari ini kita ada aktiviti memasak bubur lambuk, selepas itu pemeriksaan kesihatan dan akhirnya berbuka puasa bersama-sama,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid Seksyen 7, di sini semalam.

Beliau berkata peranan hospital bukan hanya terhad kepada rawatan klinikal semata-mata sebaliknya turut merangkumi usaha mendekati komuniti melalui pendidikan dan kesedaran kesihatan. 

Sementara itu, Penolong Pengarah Perubatan dan Pakar Perubatan Kecemasan SMC Dr Nur Elayni Borhan berkata pihaknya membawa pelbagai inisiatif saringan kesihatan bagi memudahkan komuniti mendapatkan pemeriksaan asas secara percuma sepanjang program berlangsung di masjid itu.

Beliau berkata pendekatan berkenaan selari dengan hasrat SMC untuk menjadikan Ramadan sebagai titik permulaan gaya hidup lebih sihat, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga.

“Ini peluang terbaik untuk komuniti Shah Alam datang ke masjid dan membuat pemeriksaan kesihatan. Kita juga menyediakan saringan kesihatan menyeluruh bagi membantu mereka memahami tahap kesihatan masing-masing,” katanya.

Dr Nur Elayni berkata selain pemeriksaan kesihatan, SMC turut mengajar latihan bantuan pernafasan (CPR) menggunakan teknik tekanan dada atau hands-only CPR oleh Pakar Perubatan Kecemasan SMC Dr Mohd Khalis Abdul Rahim, untuk memberi pendedahan awal kepada orang ramai mengenai teknik bantuan kecemasan.

Beliau berkata pendedahan kemahiran asas menyelamatkan nyawa itu diharap dapat meningkatkan kesiapsiagaan masyarakat dalam berdepan situasi kecemasan, sekali gus menjadikan sambutan Ramadan bukan sahaja bermakna dari segi spiritual, malah turut memperkasakan aspek kesihatan dan keselamatan komuniti.

“Ia sangat penting kerana sekiranya berlaku kecemasan kepada insan tersayang di rumah, mereka tahu langkah awal yang perlu dilakukan sebelum pesakit dihantar ke hospital,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan