WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Konsep Rumah Bangsa UMNO Terbuka Kepada Semua, Bukan Individu Tertentu - Zambry

07/03/2026 02:41 PM

LUMUT, 7 Mac (Bernama) -- Konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bukan hanya khusus kepada individu tertentu, sebaliknya terbuka kepada semua pihak yang ingin bersama parti itu, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) berkata konsep itu terbuka kepada semua kerana berasaskan tindakan secara kolektif, dengan UMNO menjadi landasan perjuangan bukan untuk individu tertentu tetapi untuk semua termasuk bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin. 

“Jadi masing-masing mempunyai kekuatan, mempunyai sumbangan yang boleh dilakukan sepertimana yang disebutkan oleh Yang Amat Berhormat Presiden,” katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Daerah Manjung, di sini hari ini.

Beliau berkata konsep yang diketengahkan adalah berasaskan peranan UMNO sebagai “Rumah Bangsa” sejak penubuhan parti itu pada 1946 yang menghimpunkan lebih 100 pertubuhan Melayu untuk bersatu menentang cadangan Malayan Union.

“… ia satu prinsip yang sangat baik kerana prinsip dalam parti khususnya dalam UMNO dan Barisan Nasional ini untuk misi perpaduan, misi kedamaian, misi keamanan dan kestabilan. 

“Itulah rangka besar parti UMNO, Barisan Nasional dan semua komponen dan juga yang lain-lain, iaitu untuk kita mengekalkan keamanan dalam semua Rumah Bangsa yang besar ini,” katanya.

Zambry berkata konsep mengekalkan Rumah Bangsa itu satu idea besar yang baik oleh Presiden UMNO, yang menyuarakan secara terbuka untuk semua mereka yang sebelum ini keluar daripada UMNO untuk kembali semula dengan semangat Ramadan.

Pada program itu, sebanyak 377 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat di daerah Manjung menerima BWI sebanyak RM1,000 setiap seorang, membabitkan jumlah peruntukan keseluruhan RM377,000.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata inisiatif Dapur Siswa MADANI akan diperluas ke politeknik di seluruh negara bagi membantu lebih ramai pelajar mendapat manfaat berkenaan.

"Beberapa hari ini saya telah mengunjungi beberapa universiti termasuk Universiti Malaysia Kelantan untuk melihat sendiri pelaksanaan Dapur Siswa itu. Saya telah meminta supaya inisiatif berkenaan turut melibatkan politeknik," katanya.

Pada Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM15 juta bagi pelaksanaan inisiatif makanan percuma dan bank makanan dikenali sebagai Dapur Siswa MADANI, yang disalurkan daripada dana Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang tidak digunakan pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan