WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Belia Digesa Lebih Proaktif Sebarkan Maklumat Peluang Latihan Kemahiran - Ramanan

07/03/2026 08:31 PM

SUNGAI BULOH, 7 Mac (Bernama) -- Orang ramai, khususnya golongan belia digesa supaya lebih proaktif menyebarkan maklumat berkaitan peluang latihan kemahiran dan pekerjaan agar lebih ramai dapat memanfaatkan inisiatif yang disediakan kerajaan serta pelbagai pihak.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata masih ramai anak muda termasuk pelajar dan siswazah yang tidak mengambil peluang mempromosikan program latihan atau inisiatif pembangunan kemahiran yang ditawarkan.

“Kita ada banyak inisiatif dan program, contohnya pada hari ini Yayasan Mahir menyediakan pelbagai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sumbangan Bakul Makanan dan Edaran Bubur Lambuk dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Sutekno Ahmad Belon dan Pengerusi Yayasan Mahir Malaysia Datuk Seri Ganes Palaniapan.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata orang ramai yang hadir ke program sedemikian diharap dapat membantu menyebarkan maklumat kepada komuniti setempat supaya lebih ramai mengetahui peluang latihan yang disediakan.

Sebagai contoh, beliau berkata satu program latihan kecerdasan buatan (AI) percuma melibatkan kira-kira 700 peserta pernah dianjurkan di Sungai Buloh dengan kerjasama TalentCorp, walaupun modul seumpamanya di luar negara boleh mencecah kos hingga RM5,000.

Terdahulu, Ramanan menyantuni dan mengagihkan 100 bakul makanan serta bubur lambuk kepada penduduk setempat, khususnya golongan B40 dan keluarga yang berdepan dengan kekangan kewangan.

Program itu turut disusuli dengan kunjungan ke bazar Ramadan bagi mengagihkan 1,000 bungkus bubur lambuk serta duit raya kepada kanak-kanak di kawasan berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan