WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kempen Internet Selamat Di 19 Bazar Ramadan, Pupuk Kesedaran Keselamatan Siber

07/03/2026 09:49 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Bazar Ramadan di 19 lokasi seluruh negara hari ini bukan sahaja meriah dengan kehadiran pengunjung yang mencari juadah berbuka puasa, malah dimanfaatkan sebagai platform santai untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan dalam talian menerusi penganjuran Kempen Internet Selamat (KIS) @ Bazar Ramadan 2026.

Kempen anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga diserikan dengan pelbagai aktiviti termasuk sesi interaktif berkaitan keselamatan Internet, demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa serta program bersama pengunjung bazar.

Di ibu negara, MCMC mengagihkan 500 kit Ramadan di bazar Ramadan IWK Eco Park Pantai Dalam yang mengandungi risalah kempen kepada pengunjung bagi memperluas pemahaman mengenai keselamatan dalam talian.

Pengunjung bazar, Rabiatul Adawiyah Idris, 40, menyifatkan penganjuran kempen di lokasi tumpuan masyarakat sebagai pendekatan tepat dalam menyampaikan mesej dan pendedahan berhubung keselamatan Internet kepada orang ramai, terutama kandungan melibatkan kanak-kanak. 

“Program seperti ini membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penggunaan Internet secara selamat, terutama dalam kalangan anak-anak berusia 16 tahun dan ke bawah,” katanya ketika ditemui di hari ini.

Sementara itu, di PAHANG, sambutan pengunjung terhadap Kempen Internet Selamat di Bazar Ramadan Tasik Abu Bakar, Pekan amat menggalakkan apabila reruai MCMC mula diserbu orang awam seawal 4 petang.

Pengarah Kanan MCMC (Wilayah Timur) Mohd Fairus Mohamad berkata kempen itu dapat memberi pendedahan terus kepada masyarakat berkaitan risiko penyalahgunaan Internet seperti penipuan dalam talian, buli siber dan penyebaran berita palsu berbanding hanya fokus kepada pelajar sebelum ini.

Di TERENGGANU, pengunjung Bazar Ramadan Shahbandar, Kuala Terengganu, Maheran Mohamed, 38, berkata penganjuran kempen itu tepat pada masanya susulan peningkatan kes jenayah siber kebelakangan ini dan menjadi keperluan masyarakat khususnya ibu bapa untuk menambah pengetahuan demi melindungi anak-anak mereka.

Selain sesi penerangan, reruai MCMC di Ramadan di Bertam Putra, PULAU PINANG, turut menampilkan demonstrasi pengaktifan kawalan ibu bapa pada aplikasi kepada pengunjung, di samping pengedaran 500 kit Ramadan yang mengandungi risalah KIS.

Pekerja swasta, Emi Nashellah Zulkifly, 41, berpendapat program kempen turun padang yang dilaksanakan di kawasan terbuka lebih diyakini dan efektif dalam memberi pendedahan secara langsung kepada kepada orang ramai berbanding program tertutup yang menyasarkan golongan tertentu sahaja.

Sementara itu di NEGERI SEMBILAN, Pengarah MCMC negeri Md Tahir Musa berkata reruai MCMC di Bazar Ramadan Metropark Sendayan menerima sambutan menggalakkan sejak 3 petang dan pengunjung diberikan pelbagai informasi dan tips keselamatan siber, termasuk mengenal pasti taktik penipuan dalam talian, melindungi maklumat peribadi serta langkah awal jika menjadi mangsa jenayah siber.

KIS@Bazar Ramadan turut diadakan di beberapa lokasi lain iaitu di Bazar Ramadan di Seksyen 13, Shah Alam, SELANGOR;  Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bahru, KELANTAN; Bazar Ramadan Bulatan Sultan Azlan Shah di Meru Raya, PERAK; Bazar Ramadan MITC Ayer Keroh, MELAKA; serta di Bazar Ramadan Arau, PERLIS.

Kempen berkenaan turut berlangsung di Sabah dan Sarawak yang menyaksikan masyarakat di dua negeri itu tidak ketinggalan untuk mendapatkan maklumat serta pendedahan berhubung langkah keselamtan ketika melayari Internet.

Reruai KIS di Bazar Ramadan Sabindo, Tawau, SABAH tidak putus menerima kunjungan orang ramai  untuk mengetahui lanjut tentang penggunaan Internet selamat, terutama selepas kerajaan menguatkuasakan undang-undang larangan penggunaan media sosial bagi individu berumur 16 tahun ke bawah.

Di SARAWAK, reruai KIS di Bazar Ramadan Stutong, Kuching di sini, sentiasa dipenuhi pengunjung bermula dari 2 petang dengan rata-rata orang awam tertumpu untuk mendapatkan maklumat berkaitan kes penipuan dalam talian.

Pengarah MCMC Cawangan Kuching Scott Kueh Sui Yek berkata selain program hari ini, pihaknya aktif menjalankan program tersebut di sekolah rendah dan menengah bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan Internet secara selamat dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata kempen berkenaan akan diperluaskan kepada komuniti termasuk ibu bapa dan masyarakat setempat bagi memastikan kesedaran mengenai keselamatan Internet dapat disampaikan kepada lebih ramai pihak.

Sementara itu, di JOHOR, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata KIS yang dimulakan sejak Januari 2025, turut dianjurkan di Bazaar Ramadan Temenggong, Kulai hari ini bagi mendekati masyarakat secara langsung tentang kepentingan literasi media.

Beliau berkata pelaksanaan kempen itu di bazar membolehkan pihak kementerian dan MCMC berinteraksi dengan pelbagai golongan termasuk ibu bapa dan kanak-kanak.

Teo berkata penganjuran program sebegini secara berterusan amat diperlukan bagi meningkatkan literasi digital rakyat Malaysia, terutama berkaitan keselamatan penggunaan Internet, pengenalan kepada kecerdasan buatan (AI) serta pencegahan penipuan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan