WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Seru Ibu Bapa Pantau Anak, Ramai Penunggang Diperiksa Remaja

08/03/2026 09:38 AM

KUALA LUMPUR, 8 Mac (Bernama) -- Polis menyeru ibu bapa agar memantau pergerakan anak-anak mereka pada waktu malam selepas mendapati kebanyakan penunggang motosikal yang diperiksa dalam operasi penguatkuasaan lalu lintas di sekitar ibu negara awal pagi ini terdiri daripada golongan remaja.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Supt Suffian Abdullah berkata penunggang berusia antara 15 hingga 21 tahun dikenal pasti sebagai kumpulan terbesar yang diperiksa dalam operasi bersepadu yang dijalankan dari 8 malam hingga 5 pagi itu.

Beliau berkata dalam operasi di Jalan Pahang, Jalan Genting Kelang dan Jalan Semarak itu, kira-kira 2,000 kenderaan telah diperiksa dengan sebanyak 797 saman dikeluarkan.

“Sebanyak 80 motosikal turut disita kerana disyaki terlibat dalam kesalahan ubah suai serta tidak menepati spesifikasi yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini awal pagi ini.

Suffian berkata seorang remaja lelaki berusia 19 tahun turut ditahan kerana kesalahan nombor pendaftaran motosikal tidak mengikut spesifikasi manakala seorang lagi penunggang melarikan diri dengan meninggalkan motosikal yang diubah suai secara ekstrem.

Beliau berkata terdapat juga kes remaja yang memberi alasan kepada ibu bapa untuk keluar bersahur sedangkan mereka sebenarnya terlibat dalam kegiatan samseng jalanan.

“Kita menyeru ibu bapa atau penjaga supaya memberi perhatian kepada anak-anak mereka ini kerana ada yang memberi alasan kurang wajar untuk keluar rumah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan