KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Pelantikan Presiden Republik Demokratik Timor-Leste yang juga penerima Hadiah Nobel Keamanan, José Ramos-Horta, sebagai Profesor Adjung Kehormat di Taylor’s University, menandakan satu pencapaian penting dalam komitmen institusi itu untuk menyepadukan kepimpinan dunia sebenar dan perspektif global ke dalam ekosistem akademiknya.
Presiden yang terkenal dengan perjuangannya demi keamanan, demokrasi dan hak asasi manusia itu telah mengadakan sesi dialog akademik bersama pelajar program Ijazah Sarjana Muda Falsafah, Politik dan Ekonomi (PPE) (Kepujian) bertajuk “A World Adrift – New World Order”.
Ramos-Horta menekankan peranan penting pendidikan dalam membentuk pemimpin masa depan yang berupaya menangani cabaran global.
“Pendidikan merupakan salah satu instrumen paling berkuasa yang kita miliki untuk membentuk dunia yang lebih adil, berperikemanusiaan dan aman. Dalam saat kritikal bagi kemanusiaan ini, usaha memupuk pemikiran kritikal, kepimpinan beretika dan perspektif global bukan sahaja penting,- malah amat mendesak,” katanya.
Menurut Taylor’s University, dialog tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara langsung dengan seorang ketua negara, dengan perbincangan tertumpu kepada dinamika ASEAN, peranan Timor-Leste yang semakin berkembang di peringkat serantau, serta tanggungjawab kepimpinan global yang lebih luas, satu pengalaman yang disifatkan ramai sebagai transformatif.
Pelajar Semester Dua, Lee Yong Zi, berkata sesi tersebut telah mengubah persepsinya mengenai kepimpinan dan penglibatan global.
“Seruan beliau (Presiden Ramos-Horta) untuk ‘lebih ramai saintis, bukan sekadar ahli sains sosial’ mendorong saya melihat kepimpinan bukan hanya tentang diplomasi atau visi, tetapi sebagai usaha nyata menukar idea menjadi realiti yang boleh dihayati masyarakat.
“Peluang berinteraksi dengan seorang pemimpin dunia melalui platform universiti terasa luar biasa - ia menjadikan dialog berprofil tinggi seperti satu perbualan peribadi dan menunjukkan bahawa Taylor’s University bukan sahaja mengajar penglibatan global, malah membolehkan kita mengalaminya secara langsung,” katanya.
Sementara itu, pelajar Semester Satu, Sri Krishna Anuj Saripalli, berkata sesi dialog tersebut turut meluaskan pemahamannya mengenai landskap politik ASEAN.
“Mendengar Presiden Ramos-Horta membicarakan perjuangan Timor-Leste untuk mendapatkan pengiktirafan menunjukkan bagaimana negara kecil mampu mempengaruhi perbincangan serantau, bukan melalui kuasa ekonomi atau ketenteraan, tetapi melalui kewibawaan moral dan kepimpinan berprinsip,” katanya.
Pengarah program PPE, Dr Deboshree Ghosh, berkata penglibatan seperti ini memberi pendedahan yang sangat berharga kepada pelajar melangkaui pembelajaran secara teori.
“Beliau memberi peluang kepada pelajar untuk memahami bagaimana pembinaan keamanan, etika, diplomasi dan proses pembuatan keputusan berfungsi dalam konteks dunia sebenar. Pendedahan seperti ini memberikan kedalaman pembelajaran yang tidak dapat dicapai melalui buku teks semata-mata,” katanya.
Pelantikan itu turut menyaksikan pelancaran Biasiswa Presiden J. Ramos-Horta, yang disediakan bagi menyokong seorang pelajar Timor-Leste yang cemerlang dari segi akademik serta mempunyai komitmen untuk memberi impak di peringkat global.
Taylor’s University memaklumkan bahawa inisiatiaf tersebut mengukuhkan komitmennya dalam menyediakan pendidikan berkualiti tinggi yang mudah diakses, selari dengan falsafah antara disiplin program PPE serta misi lebih luas universiti itu.
Taylor’s University juga mengalu-alukan permohonan bagi pengambilan tahun 2026 dengan menawarkan Biasiswa Eksklusif PPE yang menampung sehingga 100 peratus yuran pengajian. Pelajar yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut semasa Hari Terbuka Taylor’s pada 14 dan 15 Mac Ini, atau lawati pautan di sini untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial