KUALA LUMPUR, 10 Mac (Bernama) -- Senarai pemain skuad sepak takraw kebangsaan yang diumumkan baru-baru ini dijangka kekal sebagai teras utama bagi menghadapi cabaran Sukan Asia selepas dipersetujui bersama Persekutuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dan Majlis Sukan Negara (MSN).
Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata setakat ini tiada sebarang perubahan dirancang terhadap senarai tersebut kerana pemilihan pemain dibuat berdasarkan penilaian barisan kejurulatihan kebangsaan.
Beliau berkata pemilihan itu turut mengambil kira keperluan taktikal selain memastikan keseimbangan antara pemain senior dan pemain muda dalam skuad kebangsaan.
“Setakat ini tak ada perubahan (senarai pemain ke Sukan Asia). Kita di peringkat PSM tidak campur tangan dalam pemilihan pemain kerana cadangan datang daripada ketua jurulatih dan barisan jurulatih.
“Kita hanya memberi pandangan tetapi akhirnya kita beri mandat sepenuhnya kepada jurulatih untuk menentukan pemain,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi PSM di Akademi Sepak Takraw Malaysia di sini, malam tadi.
Menurut beliau, barisan kejurulatihan menilai keupayaan pemain untuk beraksi dalam lebih daripada satu acara memandangkan sesetengah kejohanan membenarkan jumlah pemain yang terhad.
“Dalam satu-satu temasya seperti Sukan Asia, jumlah pemain yang boleh disenaraikan adalah terhad dan pemain sama mungkin perlu bermain dalam acara regu atau kuadran. Jadi jurulatih perlu memilih pemain yang sesuai dengan karakter serta posisi masing-masing,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohd Sumali berkata isu pelepasan pemain yang sebelum ini melibatkan beberapa atlet juga telah diselesaikan dan pemain kini boleh memberi fokus kepada persiapan menghadapi kejohanan utama tahun ini.
Terdahulu, turut berlangsung majlis penyerahan insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) berjumlah RM19,500 kepada pemain skuad kebangsaan susulan kejayaan mereka pada Kejohanan Piala Asia 2025.
Pada majlis sama, pemain yang membantu skuad lelaki meraih kejayaan dalam acara berpasukan pada Sukan SEA 2025 turut menerima insentif kemenangan sebanyak RM5,000 setiap seorang.
Semua jurulatih dan pemain skuad sepak takraw negara turut menerima sumbangan duit raya sebagai tanda penghargaan atas komitmen serta pengorbanan mereka mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial