WILAYAH - TIMUR > BERITA

Polis Pahang Terima 648 Permohonan Permit Jual Mercun, Bunga Api Sempena Aidilfitri

10/03/2026 12:09 PM

KUANTAN, 10 Mac (Bernama) -- Polis Pahang menerima 648 permohonan permit penjualan bunga api dan mercun sempena sambutan Aidilfitri di seluruh negeri itu tahun ini.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak 627 permohonan telah diluluskan, manakala 19 ditolak dan dua lagi masih dalam proses penilaian.

“Polis turut menjalankan operasi pemantauan dan pemeriksaan ke atas penjual bunga api dan mercun bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan ditetapkan,” katanya dalam sidang media sempena majlis pelancaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tanjung Putra 188 (PTP 188) Fun Run & Fun Ride 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini hari ini.

Yahaya berkata sebanyak empat tangkapan dan rampasan telah dibuat, membabitkan kesalahan penjualan bunga api dan mercun tanpa permit.

Beliau berkata operasi pemantauan itu akan diteruskan hingga tamat tempoh perayaan pada 26 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata polis masih mengklasifikasikan kes lima sekeluarga yang terlibat dalam insiden pembunuhan di kawasan perumahan Cerating Damai pada 17 Feb lepas, sebagai laporan mati mengejut (SDR).

Beliau berkata setakat ini polis telah merakam lima keterangan saksi termasuk ahli keluarga serta kenalan rapat mangsa bagi membantu siasatan.

“Pihak polis masih menunggu beberapa laporan daripada agensi berkaitan termasuk laporan forensik serta laporan kimia sebelum sebarang kesimpulan dapat dibuat,” katanya.

Sementara itu mengenai majlis hari ini, Yahaya berkata program PTP 188 Fun Run & Fun Ride 2026 akan diadakan pada 23 Mei ini di Padang MBK 1 di sini, sempena sambutan Hari Polis ke-219 dengan menyasarkan kira-kira 5,000 peserta melibatkan pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Beliau berkata dua kategori utama dipertandingkan iaitu larian 5 kilometer (km) dan 10 km, serta acara kayuhan basikal melibatkan jarak 10 km dan 50 km.

“Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM50 bagi kategori larian 5 km, RM60 bagi larian 10 km dan RM70 bagi acara kayuhan basikal 10 km dan 50 km, selain tawaran diskaun RM5 bagi pendaftaran awal,” katanya serta menambah pelbagai hadiah menarik termasuk cabutan bertuah menanti peserta. 

Yahaya berkata orang ramai khususnya rakyat Pahang yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian di laman web Ticket2U di http://t2u.asia/e/48598 atau Howei di https://howei.com/registration/2112 .

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan