WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Serbu Premis Kitar Semula Tanpa Lesen, 25 Warga Asing Ditahan

11/03/2026 04:20 PM

SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Polis Selangor menahan 25 warga asing dalam serbuan di sebuah premis kitar semula tanpa lesen sah di Jalan Bestari, Kapar di Klang, semalam. 

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata kesemua suspek berusia 24 hingga 63 tahun itu ditahan dalam operasi bersepadu Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB). 

Katanya hasil siasatan mendapati premis yang diserbu pada 3.15 petang itu telah menjalankan aktiviti perniagaan kitar semula tanpa lesen sah daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) selama kira-kira enam bulan.

“Dalam serbuan tersebut, pihak polis menahan 25 individu warga asing termasuk pemilik premis serta pekerja, yang didapati tidak mempunyai permit kerja yang sah serta gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

“Turut dirampas satu unit dekoder rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dua unit mesin perakam waktu bersama papan kad perakam waktu, serta dua unit alat kawalan jauh pintu pagar utama premis tersebut untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 serta Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan