WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Konflik Asia Barat: Kerajaan Adakan Mesyuarat Jemaah Menteri Khas Jumaat Ini - PM

11/03/2026 06:06 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan akan mengadakan Mesyuarat Jemaah Menteri Khas pada Jumaat ini bagi meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu susulan ketegangan semakin meruncing di rantau berkenaan yang berpotensi memberi kesan kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia.

“Mesyuarat ini akan memberi ruang kepada anggota Jemaah Menteri untuk meneliti kedudukan fiskal negara, memantau perkembangan semasa secara masa nyata serta menentukan hala tuju dan langkah seterusnya yang perlu diambil oleh kerajaan.

“Kerajaan MADANI memandang serius tantangan langsung terhadap kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat Malaysia,” katanya pada sidang media khas mengenai perkembangan mutakhir  konflik di Asia Barat di sini hari ini.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata konflik yang tercetus susulan serangan Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran telah merebak sehingga melibatkan beberapa negara lain di rantau berkenaan.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata beliau telah mengusulkan kepada Presiden Iran Masoud Pezeshkian supaya memastikan konflik di Asia Barat tidak memberi tempias kepada negara-negara jiran, selain serangan difokuskan terhadap Israel.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Presiden Iran dan juga Menteri Luar (Abbas Araghchi) yang memberi jaminan tegas supaya mengelak daripada tempiasan (serangan) kepada negara-negara jiran.

“Di samping itu, penghargaan kepada pimpinan negara Teluk yang memberikan kesempatan kepada Malaysia berunding dengan mereka,” kata beliau.

Pada masa sama, Anwar mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan Ahli Parlimen merentas parti yang memberi dukungan dan mengeluarkan kenyataan bersama dalam isu serangan ke atas Iran.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar dan perwakilan diplomatik Malaysia di Asia Barat serta agensi keselamatan dan pihak penerbangan yang terlibat dalam usaha membawa pulang rakyat negara ini yang terkandas akibat konflik berkenaan.

“Alhamdulillah, kumpulan pertama rakyat Malaysia yang dibawa pulang dari Asia Barat telah selamat tiba di tanah air sekitar 12.30 tengah hari tadi susulan perkembangan keselamatan yang semakin meruncing akibat serangan yang dicetuskan oleh rejim Zionis Israel dan Amerika Syarikat terhadap Iran.

“Seramai 170 rakyat Malaysia bersama ahli keluarga mereka telah berjaya dibawa keluar dari kawasan konflik dan pulang menaiki pesawat Malaysia Airlines yang disewa khas oleh Kerajaan MADANI,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan