WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Inspektor Polis Mengaku Tidak Bersalah Terima Rasuah, Tipu Wang Jaminan

12/03/2026 02:00 PM

KUALA TERENGGANU, 12 Mac (Bernama) -- Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima dan meminta rasuah serta menipu wang jaminan berjumlah RM5,300.

Mohamad Syazuwan Jemaan, 32, yang membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Azman Mustapha, berdepan dua pertuduhan menerima rasuah RM300 dan meminta suapan berjumlah RM4,000 daripada seorang wanita.

Perbuatan itu bagi membebaskan wanita tersebut daripada tahanan reman polis pada 21 Jan lepas serta tidak menuduhnya di mahkamah atas kesalahan jenayah komersial.

Kedua-dua pertuduhan pindaan itu dibuat mengikut Seksyen 16(a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan ketiga, Mohamad Syazuwan didakwa secara rasuah cuba untuk memperoleh wang tunai RM4,000 daripada wanita berkenaan sebagai dorongan untuk tidak mendakwanya atas kesalahan jenayah komersial.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di Bilik Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Dungun, pada 9 pagi 26 Jan lepas, 5.20 petang 3 Feb dan 2.15 petang 5 Feb.

Selain itu, lelaki tersebut turut didakwa memperdayakan seorang wanita supaya menyerahkan wang tunai berjumlah RM1,000 sebagai wang jaminan membebaskan adik perempuannya daripada tahanan reman polis, sedangkan tiada wang jaminan perlu dibayar bagi pembebasan berkenaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih dari 10 tahun serta sebat dan denda.

Kesalahan itu dilakukan antara 10.15 pagi hingga 12.30 tengah hari pada 21 Jan lepas di lokasi sama.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan pindaan serta RM5,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan, dilarang untuk memiliki atau membuat pasport sepanjang kes serta tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rabiatul Addawiyah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Jawahir Mohd Zulmajdi.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 April ini bagi penyerahan dokumen.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan