BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPM Pantau Pembabitan Pelajar Dalam Aktiviti Keganasan

12/03/2026 08:07 PM

BUKIT MERTAJAM, 12 Mac (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) memantau rapi pembabitan pelajar dalam aktiviti militan dan keganasan bagi mengekang sebarang unsur ekstremisme daripada menyusup masuk ke institusi pendidikan.

Menteri berkenaan Fadhlina Sidek berkata pihak KPM telah menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut. 

“Dalam masa yang sama, di peringkat KPM kita pantau semua penglibatan pelajar supaya anasir ini tidak masuk dalam kementerian dan khususnya di institusi pendidikan kita,” katanya pemberita selepas merasmikan Program Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Hospital Seberang Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata kerjasama rapat dengan agensi penguatkuasaan penting bagi melindungi pelajar, guru serta keseluruhan institusi pendidikan daripada pengaruh yang berkait rapat dengan unsur terbabit.

Baru-baru ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata polis melumpuhkan cubaan menghidupkan semula ideologi kumpulan pengganas Daesh di negara ini dengan penahanan enam remaja termasuk tiga di bawah umur menerusi operasi khas.

Beliau berkata suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun itu ditahan dalam operasi dilancarkan oleh Cawangan Khas selama dua hari bermula 14 Feb di Lembah Klang, Johor, Kedah dan Terengganu.

Polis turut mendedahkan mengesan kewujudan sel radikal yang memfokuskan golongan remaja dan mempunyai jaringan komunikasi dengan kumpulan ekstremis di luar negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan