BERITA TERGEMPAR   Super League: PDRM FC 1-6 Negeri Sembilan FC | 
 WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Indonesia Tangguh Sidang Kemuncak D-8 Di Jakarta Susulan Ketegangan Asia Barat

13/03/2026 11:12 PM

JAKARTA, 13 Mac (Bernama) -- Sidang Kemuncak Kumpulan Lapan Negara Membangun (D-8) dan mesyuarat berkaitan yang dijadualkan berlangsung di Jakarta pada 15 April ini telah ditangguhkan ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak susulan perkembangan semasa di Asia Barat.

Pengarah Kerjasama Pelbagai Hala Kementerian Luar Indonesia, Tri Tharyat berkata Menteri Luar Sugiono telah menghantar surat kepada negara rakan  D-8 bagi memaklumkan mengenai penangguhan sidang kemuncak itu serta semua mesyuarat berkaitan.

"Saya telah bercakap dengan Setiausaha Agung D-8 dan semua pesuruhjaya. Duta-duta kami di negara anggota D-8 juga telah berkomunikasi dengan rakan sejawat mereka di negara akreditasi masing-masing.

Susulan perundingan itu, Menteri Luar telah menandatangani surat kepada rakan sejawat beliau malam tadi bagi memaklumkan penangguhan Sidang Kemuncak D-8 dan semua mesyuarat berkaitan," katanya dalam satu taklimat media pada Jumaat.

D-8 merupakan sebuah organisasi kerjasama ekonomi yang terdiri daripada Indonesia, Bangladesh, Mesir, Iran, Malaysia, Nigeria, Pakistan dan Turkiye, manakala Azerbaijan menjadi anggota terbaharu selepas menyertai kumpulan itu pada Disember 2024.

Indonesia memegang jawatan Pengerusi D-8 bagi tempoh 2026 - 2027 dengan tema " Mengemudi Peralihan Global: Mengukuhkan Kesamaan, Solidariti dan Kerjasama untuk Kemakmuran Bersama.” 

Tri berkata sidang kemuncak itu sebelum ini dijadualkan pada 15 April, didahului dengan mesyuarat persediaan termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Luar pada 14 April dan Mesyuarat Pesuruhjaya pada 12 hingga 13 April.

Beliau berkata tarikh baharu bagi sidang kemuncak berkenaan akan dibincangkan kemudian.

"Pada masa ini, ia mungkin belum bersesuaian memandangkan perkembangan di Asia Barat masih berterusan," katanya.

Beliau berkata, walaupun sidang kemuncak dan mesyuarat ditangguhkan, aktiviti lain berkaitan jawatan Pengerusi D-8 Indonesia akan tetap diteruskan.

"Beberapa aktiviti, termasuk yang dianjurkan oleh Kamar Dagang dan Industri Indonesia (Kadin), akan diteruskan seperti yang dirancang, walaupun beberapa tarikh belum dimuktamadkan. Sebilangan program yang akan dijalankan oleh beberapa kementerian teknikal juga akan diteruskan," katanya.

Tri turut menjelaskan bahawa Indonesia sudah dianggap memegang jawatan Pengerusi D-8 walaupun penyerahan rasmi dari Mesir belum dilakukan.

"Jawatan pengerusi kami secara rasmi akan diserahkan semasa sidang kemuncak, namun memandangkan situasi luar biasa tahun ini, negara anggota D-8 sudah menganggap Indonesia sebagai pemegang jawatan pengerusi walaupun ia belum dipindahkan secara rasmi dari Mesir," katanya.

Beliau berkata kebanyakan program yang dirancang di bawah jawatan pengerusi Indonesia bagi 2026 dan 2027 sehingga tamat tempohnya pada 31 Disember sebahagian besarnya sedia untuk dilaksanakan, manakala yang lain masih dalam perbincangan dan akan terus diperhalusi.

"Oleh itu, penangguhan ini tidak mengubah keseluruhan program aktiviti, kecuali bagi acara yang dijadualkan berlangsung secara berturut-turut dengan sidang kemuncak berkenaan iaitu Forum Perniagaan D-8 dan Ekspo Halal, yang turut ditangguhkan," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan