WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Tiada Rumah Terbuka Langkah Berhemat Hadapi Ketidaktentuan Ekonomi - Dr Wan Azizah

14/03/2026 04:00 PM

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Malaysia perlu berhemat dalam mengurus kos dan membuat persediaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, termasuk kemungkinan kenaikan harga minyak dunia, kata isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata langkah berhati-hati perlu diambil kerana Malaysia sebuah negara perdagangan yang terdedah kepada perubahan ekonomi dan pasaran global.

“Kita adalah negara perdagangan, jadi kita perlu berhati-hati supaya keadaan ini tidak memudaratkan ekonomi kita,” katanya hari ini ketika diminta mengulas keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk tidak mengadakan rumah terbuka Aidilfitri pada tahun ini.

Terdahulu, Dr Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merasmikan Program Harapan Ramadan 2026 anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan kerjasama CIMB Islamic Bank.

Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah berkata pembangunan negara tidak boleh bergantung kepada dasar kerajaan semata-mata, sebaliknya memerlukan kerjasama erat antara sektor korporat, institusi masyarakat dan organisasi dakwah.

Beliau berkata kerjasama sedemikian penting bagi memastikan usaha kebajikan kepada golongan memerlukan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Program seperti Harapan Ramadan ini menekankan pembinaan kesejahteraan nilai rohani dan sosial dalam kalangan masyarakat di samping memastikan kebajikan komuniti setempat sentiasa terpelihara,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata CIMB Islamic Bank bersama Yadim memperuntukkan RM1 juta bagi membantu 6,000 penerima di seluruh negara melalui pengagihan 6,000 Bakul Harapan Ramadan sepanjang bulan Ramadan tahun ini.

Beliau berkata inisiatif kebajikan seperti itu amat bermakna memandangkan masih terdapat lebih tiga juta isi rumah dalam kategori B40 yang memerlukan sokongan berterusan.

Program Harapan Ramadan 2026 hari ini menyaksikan penyerahan Bakul Harapan Ramadan kepada 100 penerima terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, ibu tunggal dan anak yatim di kawasan sekitar Bandar Tun Razak.

Pada majlis itu, Dr Wan Azizah turut menyaksikan penyerahan cek cura berjumlah RM2,000 sumbangan Yadim kepada penerima yang layak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan