WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Siap Dinaik Taraf, Beroperasi Sepenuhnya Esok

15/03/2026 11:56 AM

PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Kerja-kerja pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu (KBR) di Kelantan kini telah siap dan ia akan beroperasi sepenuhnya mulai esok, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke dalam kenyataan berkata pembesaran terminal baharu ini telah meningkatkan kapasiti lapangan terbang KBR daripada 1.5 juta kepada 4 juta penumpang setahun. 

“Dengan jumlah pergerakan penumpang mencecah 1.7 juta pada 2025, meningkat 16.2 peratus berbanding tahun sebelumnya, peningkatan kapasiti ini berupaya menampung pertumbuhan trafik penumpang yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata kemudahan yang ditambah baik di KBR merangkumi bangunan terminal yang lebih luas, pengasingan aras pelepasan dan ketibaan bagi melancarkan aliran penumpang serta susun atur baharu kawasan tepi jalan dengan lorong khusus untuk bas teksi dan perkhidmatan e-hailing. 

“Penambahbaikan ini dijangka meningkatkan pengalaman perjalanan penumpang dan menyokong kelancaran operasi lapangan terbang, khususnya menjelang musim perayaan yang bakal tiba.

“Pada masa sama, peningkatan ini turut memperkukuh hubungan udara ke Kelantan, di samping menyokong pertumbuhan sektor pelancongan, perniagaan dan pembangunan ekonomi negeri,” katanya.

Loke berkata terdapat lima syarikat penerbangan yang kini beroperasi di KBR, merangkumi enam laluan domestik dan satu laluan antarabangsa ke Singapura. 

Beliau berkata majlis pelancaran rasmi bagi terminal yang diperluaskan itu akan diumumkan pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan