WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PTPTN Sampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI Kepada 72 Pelajar IPT

17/03/2026 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menyampaikan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada 72 pelajar asnaf daripada dua institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi meringankan beban kewangan mereka sepanjang tempoh pengajian.

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata setiap pelajar Politeknik Nilai dan Politeknik Port Dickson, Negeri Sembilan menerima bantuan RM500 secara sekali beri menerusi inisiatif itu, melibatkan jumlah keseluruhan RM36,000.

“Melalui inisiatif ini, diharapkan pelajar dapat menangani cabaran kewangan serta menerima sokongan tambahan sepanjang tempoh pengajian,” katanya pada Majlis Iftar PTPTN bersama-sama media di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Ketua Pegawai Operasi PTPTN Mastura Mohd Khalid.

Norliza berkata PTPTN turut menganjurkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyantuni masyarakat sepanjang Ramadan termasuk Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) di IPT, Program Jom Kejut Sahur serta Program Raikan Syawal bersama-sama anak yatim dan asnaf.

Beliau berkata PTPTN juga sentiasa komited untuk memperluas pelaksanaan program CSR kepada pelajar, khususnya dalam aspek pendidikan dan kebajikan.

Dalam pada itu, Norliza merakamkan penghargaan kepada pengamal media atas peranan penting mereka dalam menyampaikan maklumat berkaitan PTPTN kepada masyarakat.

“Media banyak membantu membetulkan persepsi serta mendidik orang ramai mengenai tanggungjawab membayar balik pinjaman PTPTN, selain mempromosikan peluang perancangan kewangan melalui Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) disediakan PTPTN,” katanya.

Beliau berkata sebagai peneraju tabung pendidikan tinggi negara, PTPTN terus memperkukuh usaha memperkasakan budaya menabung melalui Simpan SSPN bagi mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman, sekali gus memastikan graduan tidak dibebani hutang selepas tamat pengajian.

Sementara itu, pelajar Politeknik Port Dickson Ahmad Imran Idris, 22, berkata bantuan yang diterima itu memberi kelegaan kepadanya yang melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan bagi menampung perbelanjaan harian.

“Bantuan ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian. Memandangkan ibu saya ibu tunggal yang tidak bekerja, bantuan ini sangat membantu meringankan beban kewangan, terutamanya semasa Ramadan kerana tidak banyak tempahan makanan diterima,” katanya.

Seorang lagi penerima Nor Najwa Jasman, 21, yang menuntut di Politeknik Nilai berkata bantuan itu membantu mengurangkan tekanan kewangan dihadapinya dari segi akademik dan kehidupan seharian.

Nor Najwa berkata ibu bapanya tidak berpendapatan tinggi, menjadikannya bertekad untuk memanfaatkan pinjaman PTPTN dan bantuan diterima untuk terus cemerlang dalam pelajaran, sekali gus mengubah nasib keluarga menjadi lebih baik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan