WILAYAH - TENGAH > BERITA

RISDA Perkukuh Industri Getah Melalui Agenda Pembeli Getah Utama

17/03/2026 06:08 PM

KUALA LUMPUR,17 Mac (Bernama) -- Dalam tempoh pelaksanaan aktif agenda Pembeli Getah Utama sejak awal Januari 2026, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) telah membeli dan mengumpul 1,197.77 tan getah dengan nilai belian terkumpul RM3.79 juta setakat Februari.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA akan terus memperkukuh peranan sebagai Pembeli Getah Utama sekali gus meningkatkan purata harga belian RISDA daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram.

“Inisiatif ini dijangka memberi impak signifikan kepada negara. Pengeluaran getah domestik berpotensi meningkat sehingga 75 peratus, dengan sasaran kutipan 300,000 tan pada 2026, sekali gus menyumbang sekitar 29 peratus kepada keperluan domestik.

“Langkah ini amat penting bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah asli yang dianggarkan bernilai RM7.6 bilion pada tahun 2024,”  katanya menerusi catatan di akaun Facebook miliknya pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata inisiatif RISDA sebagai Pembeli Getah Utama merupakan langkah strategik untuk mengangkat semula martabat industri getah negara, memperkukuh rantaian bekalan tempatan, meningkatkan pendapatan rakyat desa, serta memastikan masa depan sektor komoditi ini kekal berdaya saing.

Beliau berkata kerajaan akan terus memastikan agenda memakmurkan lebih 508,000 pekebun kecil di seluruh negara dapat direalisasikan secara menyeluruh, selaras dengan semangat Aspirasi Desa MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, kemampanan ekonomi dan pembangunan yang saksama.

KKDW melalui RISDA akan terus memperkukuh peranan sebagai Pembeli Getah Utama, sekali gus meningkatkan purata harga belian oleh RISDA Plantation Sdn Bhd (RPSB) daripada sekitar RM3.00 kepada RM3.70 sekilogram, katanya.

Bekiau berkata sebelum ini harga getah di peringkat ladang hanya sekitar RM3.00 sekilogram, menyebabkan pekebun kecil berkeluasan satu hektar hanya memperoleh kira-kira RM750 sebulan.

“Peningkatan ini secara langsung melonjakkan purata pendapatan bulanan pekebun kecil daripada RM1,125 kepada RM1,387.50, dengan tambahan sekitar RM387.50 sebulan atau RM4,650 setahun bagi setiap pekebun kecil.

“Bagi kebun seluas 1.5 hektar, pendapatan dijangka mencecah RM1,708 sebulan, manakala bagi keluasan 2.0 hektar ke atas, berpotensi mencapai sekitar RM2,278 sebulan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan