WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OCBC Semak Semula Unjuran Brent Lebih Tinggi, Cecah US$100 Pada Pertengahan Tahun

17/03/2026 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- OCBC Group Research telah menyemak semula unjuran minyak mentah Brent menjadi lebih tinggi, menjangkakan harga kekal meningkat pada sekitar US$100 setong hingga pertengahan tahun sebelum susut ke arah US$70 setong menjelang awal 2027 di tengah-tengah gangguan bekalan yang berterusan.

Sebelum ini, minyak mentah Brent dijangkakan melemah di bawah US$70 setong pada pertengahan 2026.

OCBC melalui satu nota hari ini berkata semakan itu dibuat di tengah-tengah konflik Amerika Syarikat (AS)-Iran yang telah memasuki minggu ketiga tanpa ada sebarang tanda-tanda untuk mereda.

“Beberapa buah kapal dilaporkan melintasi selat itu selepas mendapat Iran memberi kelulusan dan AS pula telah membenarkan kapal-kapal tangki Iran membuat penghantaran.

"Bagaimanapun, secara keseluruhan, aliran pergerakan masih terkekang dengan teruk dan tiada sekutu AS yang komited terhadap seruan Presiden Donald Trump untuk tindakan ketenteraan bersama bagi membuka semula laluan itu,” katanya. 

OCBC menjelaskan bahawa semakan ke atas itu mencerminkan peningkatan risiko gangguan perkapalan yang berpanjangan di Selat Hormuz dan bukannya jangkaan kukuh bahawa senario sedemikian akan menjadi kenyataan di tengah-tengah ketidakpastian yang luar biasa.

"Kami kini menjangkakan Brent akan berlegar sekitar US$100 setong hingga pertengahan tahun sebelum susut ke arah US$70 setong menjelang suku pertama 2027," katanya. 

Sementara itu, OCBC menyatakan gangguan perkapalan yang berterusan dan kapasiti storan yang  semakin terhad telah memaksa pengeluar Teluk untuk mengurangkan pengeluaran.

"Menghidupkan semula telaga yang telah ditutup bukan boleh dibuat secara serta-merta dan tidak terjamin, ini meningkatkan lagi risiko malahan, gangguan maritim sekarang ini berpotensi menyebabkan kehilangan bekalan menjadi lebih lama.

"Ini mewujudkan dinamik bekalan tidak linear, yang mana gangguan awal yang kecil boleh merosot ke huluan yang jauh lebih besar dari semasa ke semasa," katanya.

OCBC berkata laluan alternatif termasuk melalui saluran paip dan rizab strategik, mungkin memberikan sedikit kelegaan tetapi tidak mencukupi dalam mengimbangi sepenuhnya skala gangguan.

"Secara keseluruhannya, pengimbangan ini boleh memberikan sokongan sehingga 10.3 juta tong sehari. Walaupun begitu, penutupan Selat Hormuz yang berpanjangan akan menyebabkan kekurangan pasaran minyak kira-kira 10 juta setong sehari," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan