WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Rakyat Perlu Bersedia Hidup Sederhana Hadapi Ketidaktentuan Global - J-KOM

17/03/2026 11:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Rakyat perlu bersedia untuk hidup secara sederhana dalam menghadapi ketidaktentuan global susulan konflik antarabangsa yang mula memberikan tekanan kepada ekonomi domestik.

Penasihat Strategik Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi berkata situasi semasa menuntut kesiapsiagaan rakyat, meskipun konflik berkenaan bukan berpunca dari negara ini.

Beliau berkata keadaan itu sering dirujuk melalui konsep “VUCA”, iaitu volatility, uncertainty, complexity dan ambiguity yang menggambarkan perubahan pantas, ketidaktentuan serta kerumitan situasi global.

“Keempat-empat ini harus menjadi persediaan kepada rakyat … berhadapan dengan perang yang bukan disebabkan oleh kita, tetapi kesannya kita cukup terasa,” katanya dalam program Ruang Bicara terbitan BernamaTV, malam ini.

Budiman berkata dalam berdepan dengan situasi tidak menentu, rakyat perlu mengubah cara berfikir dengan mengurus kewangan seperti mengurus sebuah “kerajaan kecil”.

Beliau berkata setiap isi rumah mempunyai pendapatan, perbelanjaan serta simpanan kecemasan, namun persoalannya ialah sejauh mana ketahanan sekiranya berdepan dengan situasi luar jangka.

“Apabila berlaku perkara di luar jangka seperti kemalangan, ketika itu kita bergantung pada simpanan. Sama juga dalam negara, ada kewangan, ada subsidi … tetapi, berapa lama ia boleh bertahan,” katanya.

Mengulas langkah kerajaan, Budiman berkata pelbagai inisiatif antaranya Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah dilaksanakan bagi mengurangkan beban rakyat serta meminimumkan tekanan kos sara hidup.

Meskipun asas ekonomi negara kekal kukuh dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang baik, kadar pengangguran rendah dan kemiskinan menurun, kesiapsiagaan tetap diperlukan, katanya.

“Kerajaan mendengar maklum balas dan itu penting dalam memastikan bantuan sampai kepada yang memerlukan. Rakyat boleh bertenang … tetapi, pada masa sama perlu bersedia kerana ada perkara di luar kawalan kerajaan,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan