WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Satu Pertiga Projek JKR Mendahului Jadual - Ahmad Maslan

18/03/2026 12:12 PM

KUCHING, 18 Mac (Bernama) -- Kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan projek Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika ini mencatat kemajuan lebih awal daripada jadual, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata daripada 855 projek dalam pelaksanaan di seluruh negara, satu pertiga pada tahap mendahului jadual atau mengikut jadual manakala selebihnya dikategorikan projek lewat. 

Beliau memaklumkan projek akan dikategorikan lewat jadual sekiranya melebihi tempoh 30 hari atau mencatat kelewatan lebih 10 peratus daripada jadual asal.

“Sehubungan itu, saya mengarahkan pegawai JKR supaya mempercepatkan pelaksanaan projek yang mengalami kelewatan…yang lewat jadual hendaklah diawalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak Projek Pembinaan Kompleks Bangunan Gunasama Persekutuan (BGP) Kuching di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pemantauan projek BGP dilaksanakan secara bersama oleh Kementerian Kerja Raya dan pihak berkuasa negeri bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan.

Ahmad berkata BGP Kuching kini mendahului jadual sebanyak 134 hari, sekali gus mencerminkan keberkesanan pemantauan rapi serta penggunaan sistem pembinaan moden.

“Kita berharap ia akan terus lebih awal daripada jadual bagi memastikan projek ini boleh disiapkan seawal mungkin,” katanya mengenai projek bernilai RM140.8 juta yang dijangka siap pada November 2028 itu.

Beliau berkata bangunan guna sama itu bakal menempatkan 25 agensi Kerajaan Persekutuan yang kini beroperasi secara berasingan di sekitar Kuching.

“Kita memerlukan satu tempat sebagai pusat sehenti supaya orang ramai dapat berurusan dengan pejabat Kerajaan Persekutuan dengan lebih mudah tanpa perlu ke lokasi berasingan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan