WILAYAH - TENGAH > BERITA

Ketegangan Geopolitik Tidak Jejas Sektor Perubatan - Sunway Healthcare

18/03/2026 01:13 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Sektor perubatan Malaysia tidak terjejas oleh ketegangan geopolitik yang berterusan di Timur Tengah, justeru prospek pelancongan perubatan kekal kukuh bagi tahun ini, menurut Sunway Healthcare Holdings Bhd.

Ketua Pegawai Kewangan Chelsea Cheng berkata pasaran utama pelancong perubatan syarikat adalah dari negara ASEAN dan China, dengan kebanyakan pesakit luar negara datang dari Indonesia, China, Kemboja, India serta negara Asia Tenggara lain yang berdekatan.

“Berdasarkan perkembangan semasa konflik Amerika Syarikat–Iran, sektor penjagaan kesihatan ketika ini tidak bergantung besar kepada pelancong dari Eropah.

“Buat masa ini, saya percaya kami agak terlindung dan kekal yakin terhadap prospek pelancongan perubatan bagi tahun ini,” katanya pada sidang media selepas majlis penyenaraian syarikat itu di sini hari ini.

Presiden Sunway Healthcare Group Datuk Lau Beng Long berkata syarikat menjangka peningkatan pelancong perubatan dari Timur Tengah ke Malaysia, khususnya dari Dubai, yang merupakan hab pelancongan perubatan serantau.

Beliau menjangkakan pesakit dari Timur Tengah yang sebelum ini mendapatkan rawatan di Dubai kini mungkin memilih Malaysia atau negara Asia lain untuk rawatan sementara sehingga situasi stabil.

Di samping itu, katanya kenaikan ringgit berbanding dolar Singapura juga membantu menarik lebih ramai pelancong perubatan termasuk dari Indonesia.

Nilai ringgit naik kepada 3.0621/0806 berbanding 3.0635/0673 semalam.

Hari ini, Sunway Healthcare disenaraikan buat pertama kali di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1.70 sesaham, premium 25 sen berbanding harga tawaran awal (IPO) RM1.45, dengan 38.37 juta saham diniagakan.

Dalam satu kenyataan, penyedia penjagaan kesihatan bersepadu itu berkata IPO tersebut berjaya mengumpul RM3.3 bilion melalui tawaran asas dan opsyen lebih peruntukan, menjadikannya IPO terbesar di Malaysia dalam sembilan tahun serta kedua terbesar dalam sektor penjagaan kesihatan ASEAN setakat ini.

Mengulas mengenai penyenaraian itu, Pengasas dan Pengerusi Tan Sri Dr Jefrey Cheah berkata sambutan yang memberangsangkan daripada pelabur institusi tempatan dan asing serta orang ramai menunjukkan kepercayaan terhadap Sunway Healthcare dan jenama Sunway.

“Kami berhasrat untuk membangunkan institusi penjagaan kesihatan yang bukan sahaja besar, tetapi diiktiraf kerana kecemerlangan, inovasi, serta keprihatinan terhadap pesakit.

"Menerusi penyenaraian ini, Sunway Healthcare akan terus dipandu oleh komitmen kepada pembangunan negara sambil berusaha mewujudkan kumpulan penjagaan kesihatan Malaysia yang setanding atau lebih baik daripada institusi perubatan terkemuka dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan