WILAYAH - SABAH > BERITA

Polis Rampas Dadah Bernilai RM2.6 Juta, Lima Suspek Perantara Ditahan Di Sabah

18/03/2026 03:21 PM

KOTA KINABALU, 18 Mac (Bernama) -- Polis Sabah merampas 53.85 kilogram (kg) dadah dianggarkan bernilai hampir RM2.6 juta dalam dua kes berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Tawau selepas menahan lima suspek “perantara” baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dalam kes pertama pada 11 Mac lepas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah bersama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan seorang lelaki berusia 36 tahun di KKIA pada 11.15 malam.

“Hasil pemeriksaan ke atas tiga kotak yang diimbas di bahagian bagasi laluan ketibaan antarabangsa menemukan ketulan hablur jernih disyaki metamfetamina dengan anggaran berat kasar 30.30 kg bernilai kira-kira RM1.5 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan hari ini.

Beliau berkata suspek, yang juga pekerja bebas dalam bidang seni bina, kini direman hingga 20 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jauteh juga berkata dalam kes kedua di Tawau pada 13 Mac lepas, seorang lelaki berusia 42 tahun ditahan di sebuah premis stor penyimpanan kenderaan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Beliau juga berkata dua lelaki serta seorang wanita berusia lingkungan 36 hingga 73 tahun berjaya diberkas dan pemeriksaan di rumah berkenaan menemukan 20 paket dadah disyaki syabu dengan anggaran berat kasar 20.48 kg dengan nilai kira-kira RM1.024 juta.

“Semua suspek telah ditahan reman hingga 22 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya sambil menambah polis turut menyita beberapa aset termasuk motosikal, lori tiga tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Alphard.

Jauteh berkata keseluruhan rampasan dadah dalam kedua-dua kes dianggarkan mampu menampung lebih 1 juta penagih bagi sekali penggunaan, dan hasil saringan awal air kencing serta semakan rekod lampau mendapati kesemua suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah.

Beliau berkata polis percaya kes itu membabitkan dua sindiket pengedaran dadah kerana modus operandi yang digunakan bagi pembungkusan adalah berbeza.

“Keberhasilan ini adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam dan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah... orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan