WILAYAH - TENGAH > BERITA

Great Eastern Takaful Perkukuh CSR Ramadan, Manfaatkan Komuniti Memerlukan

18/03/2026 04:55 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- Great Eastern Takaful Berhad (GETB) terus memperkukuh komitmennya dalam menyokong komuniti memerlukan menerusi pelaksanaan beberapa inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Ramadan tahun ini.

Syarikat penyedia perlindungan takaful keluarga itu menganjurkan tiga program utama, iaitu Program Agihan Bubur Lambuk, Program GREAT Ramadan dan Program GREAT Sahur yang memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan asnaf, anak yatim serta petugas barisan hadapan.

GETB dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 38 sukarelawan syarikat itu berganding bahu menjayakan Program Agihan Bubur Lambuk melalui kerjasama antara Kelab Groovy GETB dan Bubur Lambuk Warisan Kampung Baru melibatkan penyediaan serta pengagihan 1,500 pek di sembilan lokasi sekitar Lembah Klang.

Agihan itu melibatkan dua sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Setiawangsa dan SK Wangsa Maju Seksyen 1, tiga rumah kebajikan termasuk Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh, Pusat Jagaan Kasih Murni dan Rumah Titian Kasih, sebuah pusat jagaan warga emas, iaitu Pusat Jagaan Nurul Jannah serta dua institusi pengajian tinggi, UniKL Business School dan Universiti Teknologi Malaysia.

Program itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif GETB Shahrul Azlan Shahriman dan Ketua Pemasaran Rashida Mior Ahmad Darwish sebagai tanda sokongan berterusan organisasi terhadap pelaksanaan inisiatif CSR.

Shahrul Azlan berkata Ramadan mengingatkan peranan syarikat melangkaui penyediaan perlindungan kewangan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memberi impak bermakna kepada komuniti.

“Ramadan mengingatkan kami bahawa peranan kami melangkaui penyediaan perlindungan kewangan semata-mata, ia juga adalah tentang memberi impak yang bermakna dalam komuniti yang kami santuni dan mereka yang memerlukan.

“Di Great Eastern Takaful, kami komited untuk menterjemahkan nilai-nilai kami kepada tindakan melalui inisiatif yang dapat meningkatkan kualiti hidup dengan penuh keprihatinan serta memperkukuh daya tahan sosial,” katanya.

Beliau berkata program berkenaan turut mencerminkan dedikasi kolektif warga kerja syarikat dalam membawa perubahan nyata berteraskan prinsip Purpose, Passion and Performance.

Sementara itu, Program GREAT Ramadan 2026 menghimpunkan hampir 100 anak yatim dan penerima asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras dalam suasana penuh keceriaan termasuk pengalaman membeli-belah persiapan Aidilfitri dan majlis iftar.

Program itu turut disertai hampir 40 sukarelawan GETB bersama Great Eastern Life Assurance (Malaysia) Berhad dan Great Eastern General Insurance (Malaysia) Berhad.

Majlis iftar itu turut melibatkan kira-kira 100 kanak-kanak pejuang kanser bersama penjaga mereka daripada Kelab Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS), sekali gus menjadi platform menyuntik semangat dan sokongan kepada golongan berkenaan.

Siri inisiatif itu diakhiri dengan Program GREAT Sahur 2026 yang menyaksikan pengagihan 100 pek juadah sahur kepada petugas barisan hadapan di beberapa lokasi termasuk Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Kem Desa Tun Hussein Onn dan Balai Polis Wangsa Maju.

GETB memaklumkan pihaknya percaya setiap usaha kebajikan mampu mencetuskan impak positif kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan komuniti dan membawa sinar harapan kepada mereka yang memerlukan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan