WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Anggota Ukur Sempadan Malaysia-Brunei Hilang Dihanyutkan Arus Deras

19/03/2026 09:15 AM

LAWAS, 19 Mac (Bernama) -- Seorang anggota Pasukan Ukur Malaysia dilaporkan hilang selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika menyeberangi sungai di kawasan Ulu Temburong pada Rabu malam.

Ketika kejadian, Donysius Gabriel Goh, 36, melakukan operasi pengukuran sempadan antarabangsa Malaysia-Brunei bersama dengan lima lagi rakannya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.19 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dikerah ke lokasi.

Kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira 8.30 malam 17 Mac lepas apabila hujan lebat menyebabkan arus sungai menjadi deras ketika kumpulan itu cuba menyeberangi sungai untuk ke lokasi perkhemahan.

“Seorang daripada mereka telah dihanyutkan arus deras dan hilang daripada pandangan manakala lima lagi terselamat... usaha pencarian awal telah dijalankan oleh rakan mangsa pada malam kejadian namun tidak berhasil,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan pencarian diteruskan keesokan pagi dalam radius kira-kira 700 meter dari lokasi lelaki tersebut dilaporkan hanyut namun mangsa belum ditemukan.

Menurut JBPM Sarawak, kelima-lima anggota yang terselamat kembali ke kem markas mereka pada 11.30 pagi semalam sebelum melaporkan insiden itu dan mendapatkan bantuan lanjut.

“Operasi mencari dan menyelamat dijangka dilaksanakan dengan kerjasama beberapa agensi lain. Kawasan kejadian dilaporkan berlaku di hutan tebal berhampiran sungai dengan laluan mencabar serta tiada liputan komunikasi sekali gus menyukarkan usaha pencarian.

“Mangsa kali terakhir dilihat memakai baju lengan panjang hitam, seluar panjang hitam, stoking kuning dan kasut getah,” menurut kenyataan itu. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan