WILAYAH - SARAWAK > BERITA

China Sedia Tingkatkan Kerjasama Dengan Turkmenistan Dalam Sektor Gas Asli, Perdagangan

19/03/2026 02:24 PM

BEIJING, 19 Mac (Bernama-CMG) -- Presiden China Xi Jinping mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Nasional Rakyat Turkmen merangkap Pengerusi Halk Maslahaty Turkmenistan, Gurbanguly Berdimuhamedov di Beijing pada Rabu.

Xi menyatakan bahawa "dua sesi" China yang diadakan baru-baru ini telah meluluskan garis panduan Rancangan Lima Tahun ke-15 bagi pembangunan ekonomi dan sosial.

Beliau berkata pelaksanaan garis panduan itu akan meletakkan asas kukuh bagi usaha China mewujudkan modenisasi sosialis, sekali gus menyediakan lebih banyak peluang kepada dunia.

Menurut Xi, China dan Turkmenistan perlu memperluas kerjasama dalam sektor gas asli, meningkatkan taraf perdagangan dan pelaburan, selain memperkasakan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang bukan sumber seperti kesalinghubungan, pertanian, kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan tenaga bagi membina model kerjasama menyeluruh yang baharu.

Sementara itu, Berdimuhamedov dalam pertemuan itu merakamkan penghargaan atas sokongan China terhadap status berkecuali berkekalan Turkmenistan, di samping menyanjung empat inisiatif global yang diperkenalkan Presiden Xi serta memuji pendirian adil China dalam urusan antarabangsa.

Beliau berkata Turkmenistan bersedia untuk memperkukuh koordinasi dan kerjasama dengan China melalui platform pelbagai hala seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan mekanisme China-Asia Tengah bagi bersama-sama memelihara keamanan dan kestabilan serantau dan dunia.

-- BERNAMA-CMG


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan