WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Promoter Mengaku Tidak Bersalah Tipu Wanita RM23,000

19/03/2026 02:25 PM

KUANTAN, 19 Mac (Bernama) -- Dua promoter jualan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memperdaya seorang wanita sehingga menyebabkan kerugian RM23,000 pada Januari lepas.

Muhammad Khairul Nizam Rahmat, 32, dan Nadyah Rozlan, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi.

Mereka didakwa bersama-sama dua lagi individu yang masih bebas menipu mangsa berusia 58 tahun itu dengan menawarkan pelaburan barangan elektrik yang tidak wujud sehingga wanita tersebut menyerahkan wang berkenaan di sebuah kedai pajak gadai di Jalan Bukit Ubi di sini pada 5.10 petang 13 Jan lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun, sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Nabila Huda Jasmani manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ahmad Syamsul Akmar Yusof.

Ahmad Syamsul memohon jaminan rendah atas alasan Muhammad Khairul Nizam menanggung ibu bapa yang uzur manakala Nadyah pula ibu tunggal kepada seorang anak yang masih bersekolah serta mempunyai bapa yang sakit.

Majistret membenarkan kedua-dua tertuduh masing-masing diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 April depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan