Oleh Ammar Shafiq Hamzah
KUCHING, 20 Mac (Bernama) -- Hotel di Kuching, satu daripada bandar raya tuan rumah Sukan SEA 2027 bersedia menampung peserta dan pengunjung semasa penganjuran sukan itu, dengan unjuran jumlah kapasiti bilik dijangka mencapai kira-kira 10,000.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Sarawak John Teo Peng Yew berkata beberapa hotel baharu dijangka dibuka sebelum penganjuran sukan itu yang akan menambah kira-kira 1,000 bilik kepada jumlah setakat ini, iaitu lebih 9,000 bilik.
“Di Kuching, kami menjangkakan kira-kira 5,000 peserta termasuk pegawai (dan) akan ada bilik yang mencukupi untuk semua,” katanya kepada Bernama.
Teo berkata kebanyakan hotel di Kuching telah dinaik taraf pada tahun lepas untuk kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Kebersihan dan keselamatan peserta keutamaan kami. Semua ahli MAH menjalani pemeriksaan tahunan merangkumi kebersihan, piawaian perkhidmatan dan keperluan keselamatan bangunan ditetapkan bomba,” katanya.
Sukan SEA 2027 dijadualkan berlangsung dari 18 hingga 29 Sept dengan pembahagian kepada empat kluster, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur.
Sarawak menjadi tuan rumah upacara pembukaan dan 17 sukan dipertandingkan, iaitu akuatik, angkat berat, bola keranjang, boling, boling padang, e-sukan, gimnastik, golf, kriket, memanah, menembak, Muay Thai, petanque, skuasy, taekwondo, tenis dan wushu.
Berhubung tenaga kerja, Teo berkata memastikan khidmat petugas terlatih semasa Sukan SEA menjadi keutamaan mereka.
Beliau berkata pihak hotel menyediakan latihan dalaman sendiri dan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) juga membantu dengan membenarkan pihak hotel mengakses kepada dana latihan pekerja bagi meningkatkan standard perkhidmatan.
“Semua pengusaha hotel akan memastikan jumlah petugas yang mencukupi untuk menampung keperluan acara utama seperti Sukan SEA.
“Pengusaha hotel terlibat dengan Sukan SEA akan menggaji pekerja sementara, terutamanya mereka yang mempunyai pengalaman bekerja sambilan semasa acara besar. Kebanyakan mereka dilatih dengan baik oleh pihak terlibat,” katanya.
Di sebalik semua persediaan itu, Teo berkata masih terdapat beberapa cabaran perlu ditangani bagi memastikan peserta Sukan SEA memperoleh pengalaman terbaik semasa berada di bandar raya itu.
Beliau berkata hotel tiga hingga lima bintang hanya berhadapan sedikit masalah untuk menyediakan perkhidmatan terbaik dari aspek penginapan dan makanan namun pengusaha penginapan kecil seperti motel dan rumah penginapan mungkin tidak dapat memenuhi standard piawaian yang sama.
“Satu lagi cabaran ialah logistik. Apakah terdapat pengangkutan mencukupi sepanjang sukan berlangsung?
“Kami berharap sistem Transit Aliran Autonomi (ART) di Kuching akan beroperasi menjelang waktu itu. Jika tidak, kita mungkin menghadapi cabaran logistik kerana sekurang-kurangnya 5,000 peserta memerlukan pengangkutan dari lapangan terbang ke hotel dan juga ke venue sukan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial