Oleh Kamarul Halim M Kamal
MUAR, 20 Mac (Bernama) -- Bermula dengan pemberian kad raya daripada seorang pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) pada saban tahun, seorang guru sekolah di sini mengabadikan pemberian itu dengan mengumpul dan menyimpan setiap kad raya sehingga menjadi koleksi.
Guru Pendidikan Seni Visual dan Bahasa Melayu Hafizul Syarafi Mohd Noor, 36, berkata lebih menyentuh hati kad raya itu dihasilkan sendiri oleh pelajar berkenaan dan menerimanya sejak tahun 2020, ketika negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sejak itu kiriman kad raya pasti diterima saban tahun, yang membuatkan hatinya terdetik untuk menyimpannya sebagai sesuatu yang ‘istimewa’ sebagai tanda penghargaan.
“Masuk tahun ini telah lima tahun saya terima dan menyimpan kad raya, istimewanya kad (raya) yang saya simpan ini bukanlah yang dibeli di mana-mana, tetapi yang diberikan kepada saya, yang sebelum itu saya akan mengirim dahulu dan kemudiannya individu itu akan membalasnya.
“Itulah antara keunikan kad raya yang saya terima dan saya simpan. Sehingga tahun ini saya telah menyimpan lebih kurang 400 keping kad daripada pelbagai individu, pertubuhan dan golongan kenamaan,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini.
Berkongsi pengalaman, Hafizul Syarafi berkata selain pelajar berkenaan antara golongan kenamaan yang telah mengutus kad raya kepadanya ialah Yang Di-pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah serta beberapa kerabat dari Pahang dan Terengganu.
Beliau juga turut menerima kad raya daripada beberapa ahli politik dan kenalan dari luar negara termasuk Indonesia.
Dalam memastikan 'hobi klasik' itu tidak pupus, beliau turut berkongsi pengalaman bersama anak muridnya dengan menekankan makna nilai sentimental kad tersebut sebagai amat bernilai dan wajar dihargai.
"Kita perlu menghargai pemberian daripada orang lain serta kad raya ini mempunyai nilai sejarahnya yang tersendiri selain menghormati institusi diraja juga golongan kenamaan.
“Dengan mengutus kad raya ini juga ia mampu mendidik anak murid dengan berliterasi, berbahasa serta menulis perkataan yang baik dan sopan kepada orang lain. Bagi saya secara individu pula selain mengumpul ia juga sebagai satu terapi yang mampu menenangkan, dalam masa sama menambah kenalan.
“Saya akan meneruskan hobi ini selagi terdaya sebagai satu usaha untuk mempertahankan tradisi berbalas memberikan ucapan raya pada kad, terutamanya kepada anak muda tentang kemeriahannya berbanding kini ramai yang memilih secara dalam talian,” katanya.
Hafizul Syarafi turut bersyukur kerana anak sulungnya Muhammad Athariz Hafiz, 8, mula menunjukkan minat yang sama dan sering membantunya membuka setiap kad raya yang diterima.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial