WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Korea Selatan Kuat Kuasa Penggiliran Kenderaan Lima Hari Untuk Sektor Awam

24/03/2026 05:34 PM

SEOUL, 24 Mac (Yonhap) -- Kerajaan Korea Selatan akan menguatkuasakan dengan tegas sistem penggiliran kenderaan lima hari mandatori bagi sektor awam sebagai tindak balas terhadap kemungkinan gangguan bekalan minyak susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Menurut Kementerian Iklim, Tenaga dan Alam Sekitar pada Selasa, langkah penjimatan tenaga tambahan akan turut dilaksanakan.

Agensi Berita Yonhap melaporkan mulai Rabu, kerajaan akan meningkatkan pemantauan pematuhan sektor awam terhadap sistem catuan berasaskan plat iaitu kereta dibahagikan kepada lima kumpulan berdasarkan digit terakhir nombor plat mereka dan setiap kumpulan dilarang memandu pada hari bekerja yang ditetapkan, menurut kementerian itu.

Sistem berkenaan telah ada namun pelaksanaannya adalah longgar. Kenderaan elektrik dan hidrogen dikecualikan daripada sekatan tersebut.

Kementerian akan mengedarkan garis panduan terperinci mengenai pelaksanaan sistem sektor awam itu dan menggesa hukuman terhadap institusi yang gagal mematuhi peraturan berkenaan.

Kerajaan akan menasihati sektor swasta untuk mengambil bahagian secara sukarela dalam program itu susulan ketidaktentuan yang semakin meningkat berkaitan bekalan minyak mentah dan mempertimbangkan untuk mewajibkan sistem tersebut untuk sektor swasta juga jika amaran krisis sumber negara Tahap 3 dikeluarkan bagi bekalan minyak.

Keputusan melaksanakan sistem sedemikian susulan kerajaan meningkatkan amaran minggu lepas mengenai kemungkinan gangguan bekalan minyak mentah sehingga Tahap 2 dalam sistem amaran krisis keselamatan sumber negara empat peringkat Korea Selatan.

Ia juga akan meminta 50 syarikat teratas dari segi penggunaan minyak untuk merangka pelan penjimatan tenaga dan memberikan insentif kepada mereka yang memenuhi sasaran pengurangan penggunaan tenaga sambil menyeru institusi awam dan syarikat besar supaya melaraskan waktu bekerja buat sementara waktu bagi membantu menyeimbangkan trafik bagi penggunaan tenaga yang berkesan.

Di samping itu, kerajaan akan melonggarkan sekatan ke atas penjanaan kuasa arang batu pada hari-hari dengan paras habuk halus yang rendah dan mendesak untuk menyambung semula operasi pantas lima reaktor nuklear yang sedang diselenggara sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan penggunaan gas asli cecair (LNG), yang turut terjejas oleh krisis Asia Barat.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan