WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Marcos Arah Pengeluaran Dana Kecemasan PHP20 Bilion, Jamin Bekalan Bahan Api

25/03/2026 01:41 PM

MANILA, 25 Mac (Bernama-PNA) -- Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. mengarahkan pengeluaran dana kecemasan PHP20 bilion untuk memastikan negara itu mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi ketika krisis minyak global susulan konflik berterusan di Asia Barat, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

Jabatan Tenaga akan menerima dana kecemasan menerusi Perintah Pengeluaran Peruntukan Khas dan Notis Peruntukan Tunai yang dikeluarkan pada Selasa, kata Jabatan Belanjawan dan Pengurusan (DBM) dalam kenyataan pada Rabu.

Menurut DBM, bajet yang diluluskan itu akan diperoleh daripada Dana Gas Malampaya di bawah Akaun Khas dalam Kumpulan Wang Am.

“Pembiayaan itu akan dikenakan terhadap Dana Gas Malampaya, memastikan sumber sedia ada untuk keperluan keselamatan tenaga negara yang mendesak tanpa mengganggu program keutamaan lain,” katanya.

PHP20 bilion akan digunakan untuk pelaksanaan Program Keselamatan Tenaga Kecemasan kerajaan yang bertujuan memastikan ketersediaan bahan api, mencegah kekurangan bekalan dan mengurangkan kesan harga minyak global yang tidak menentu.

Ia akan membiayai perolehan strategik produk bahan api, termasuk diesel, petrol dan LPG, dalam usaha meningkatkan inventori bahan api nasional, menstabilkan harga pam dan memastikan operasi tanpa gangguan merentasi pengangkutan, logistik, pertanian, tindak balas kecemasan dan sektor kritikal lain.

Menurut DBM program itu akan dilaksanakan oleh Philippine National Oil Company Exploration Corp. (PNOC-EC), yang telah pun memulakan aktiviti perolehan untuk menambah bekalan domestik dengan segera.

“Memandangkan ketidaktentuan global terus menjejaskan pasaran tenaga, pentadbiran Marcos mengambil sikap tegas dan proaktif – memastikan Filipina kekal berdaya tahan, bersedia dan dilindungi,” katanya.

Langkah terbaharu itu dibuat ketika ketegangan geopolitik semakin meruncing di Asia Barat yang menjejaskan pengeluaran dan pengedaran minyak global, menimbulkan risiko serius terhadap bekalan bahan api domestik dan kesinambungan perkhidmatan penting.

Marcos pada Selasa menandatangani Perintah Eksekutif 110, mengisytiharkan keadaan darurat tenaga negara selama setahun untuk menstabilkan sektor tenaga negara.

Pemangku Setiausaha DBM Rolando Toledo berkata kerajaan akan memastikan bahan api terus tersedia, harga disederhanakan dan perkhidmatan penting tidak terjejas.

"Setiap peso yang kami keluarkan di sini bertujuan untuk memastikan ekonomi bergerak, memastikan barangan mengalir dan memastikan perkhidmatan berjalan. Beginilah rupa disiplin fiskal - menggunakan dana awam di tempat yang paling penting, pada masa ia paling diperlukan," kata Toledo.

-- BERNAMA-PNA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan