WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PKR Sedia Beri Kerjasama Penuh Siasatan Dakwaan Salah Laku Ahli - Fahmi

25/03/2026 06:37 PM

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- PKR bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan penglibatan Ahli Parlimen parti itu dalam kes salah laku melibatkan transaksi berjumlah RM10 juta.

Ketua Penerangan PKR Datuk Fahmi Fadzil berkata kepimpinan parti telah dimaklumkan mengenai laporan berita berhubung dakwaan itu, dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.

"Kami belum ada mesyuarat (mengenai perkara ini), namun kepimpinan telah dimaklumkan mengenai laporan berita tersebut. Sekiranya ada (salah laku), kita serah kepada pihak berkuasa untuk lakukan siasatan.

"Kami tidak ada apa-apa untuk disembunyikan dan parti akan memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Peringatan Hari Polis ke-219 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, hari ini.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini telah memberikan mesej yang jelas bahawa kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat dalam sebarang salah laku.

Beliau berkata prinsip itu terpakai kepada mana-mana kelompok, termasuk ahli parti atau Ahli Parlimen daripada blok kerajaan sendiri.

Mengenai tindakan lanjut parti, Fahmi menjelaskan sebarang proses siasatan perlulah bermula dengan laporan rasmi daripada pihak pengadu kepada badan penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Terpulang kepada pengadu untuk membuat laporan polis atau kepada mana-mana badan penguatkuasaan yang lain. Itu ialah proses yang mesti dilalui sebelum tindakan lanjut diambil," katanya.

Semalam, media melaporkan ahli perniagaan terpalit skandal 'mafia korporat' Victor Chin Boon Long mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR meminta beliau menyediakan wang tunai bernilai RM10 juta bagi menyelesaikan skandal terbabit.

Pada 16 Mac lepas, polis mengesahkan telah menyerbu beberapa premis milik tokoh korporat itu di sekitar Kemensah dan Sungai Long, Kajang, namun beliau dan isterinya dilaporkan tiada di lokasi semasa serbuan dilakukan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan