WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Harga Minyak Susut, Bursa Malaysia Ditutup Meningkat Seiring Pasaran Serantau

25/03/2026 09:04 PM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Bursa Malaysia melantun dan meningkat ketika mengakhiri dagangan Rabu, menjejaki prestasi pasaran serantau selepas penyusutan ketara harga minyak mendorong sentimen positif pasaran secara menyeluruh.

Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 7.92 mata atau 0.46 peratus kepada 1,716.68 daripada paras penutup 1,708.76 semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka melonjak 13.74 mata pada 1,722.50 dan bergerak dalam julat 1,711.90 hingga 1,725.93 sepanjang dagangan hari ini.

Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 559 berbanding 523 manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,180 tidak diniagakan dan 24 digantung dagangannya.

Jumlah dagangan susut kepada 2.90 bilion unit bernilai RM3.26 bilion berbanding 3.35 bilion unit bernilai RM4.03 bilion semalam.

Sementara itu, Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd, Mohd Sedek Jantan berkata harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global telah jatuh melebihi lima peratus susulan laporan mengenai kemungkinan cadangan gencatan senjata sedang dirangka oleh Amerika Syarikat melibatkan Iran -- perkembangan yang membantu meredakan kebimbangan terhadap gangguan atau kejutan bekalan tenaga.

Beliau berkata perkembangan terbaharu itu menyemarakkan lagi jangkaan penurunan inflasi selain meredakan tekanan terhadap prospek dasar global yang mendorong peningkatan ekuiti.

“Dari sudut makro, apa yang kita lihat sekarang adalah penurunan premium risiko geopolitik berbanding peningkatan hakiki asas ekonomi. Minyak masih dibawa melintasi Selat Hormuz yang menunjukkan risiko gangguan sedang diuruskan, tetapi belum lenyap sepenuhnya.

“Oleh itu, ketika pasaran sedang bertahan sekarang, keadaan ini masih dipengaruhi terutamanya oleh perkembangan semasa. Sebarang perubahan harga minyak atau perkembangan geopolitik akan turut mengubah senario seterusnya,” katanya kepada Bernama.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata di peringkat domestik misalnya, kedudukan indeks melebihi paras sokongan psikologi 1,700 hanya menunjukkan aliran kenaikan lebih meluas dan kekal bertahan.

“Unjuran masa terdekat ini lebih menjurus kepada fasa konsolidasi yang berhati-hati dengan cenderung positif dan indeks petunjuk utama berkemungkinan dalam julat 1,690–1,730 bagi tempoh berbaki minggu ini,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 10 sen kepada RM11.44, Public Bank menokok sebanyak tujuh sen kepada RM4.93, CIMB meraih enam sen kepada RM7.89, Tenaga Nasional meningkat 14 sen kepada RM14.42 dan IHH Healthcare meraih satu sen kepada RM8.99.

Kaunter paling aktif, Zetrix AI naik 1.5 sen kepada 75 sen, Sunway Healthcare menokok 12 sen kepada RM2.12, AirAsia X menambah tujuh sen kepada RM1.24 manakala Borneo Oil dan VS Industry masing-masing tidak berubah pada setengah sen dan 28.5 sen.

Bagi kaunter paling untung, UMS Integration naik 31 sen kepada RM4.91, Concrete Engineering menokok 27 sen kepada RM1.99, Hong Leong Financial meningkat 26 sen kepada RM19.56, Press Metal meraih 24 sen kepada RM7.55 dan Ajinomoto meningkat 14 sen kepada RM12.38.

Sebaliknya kaunter paling rugi, Nestle merosot 44 sen kepada RM98.00, Petronas Chemicals susut 34 sen kepada RM5.46 manakala United Plantations dan Kuala Lumpur Kepong masing-masing turun 22 sen kepada RM33.60 dan RM19.60.

Di papan indeks pula menyaksikan Indeks FBM Top 100 naik 52.26 mata kepada 12,335.93, Indeks FBM Emas melonjak 53.03 mata kepada 12,474.84, FBM 70 menambah 51.50 mata kepada 16,963.76, FBM Emas Shariah naik 22.87 mata kepada 12,194.49 dan FBM ACE meningkat 50.37 mata kepada 4,370.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 188.68 mata kepada 20,569.62, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.53 mata kepada 180.12, Indeks Tenaga berkurangan 2.64 mata kepada 785.36 manakala Indeks Perladangan susut 59.02 mata kepada 8,579.45.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama turun kepada 1.69 bilion unit bernilai RM3.02 bilion berbanding 2.22 bilion unit bernilai RM3.82 bilion, semalam.

Dalam pada itu, jumlah dagangan waran meningkat kepada 964.64 juta unit bernilai RM139.07 juta berbanding 872.86 juta unit bernilai RM120.07 juta sebelum ini.

Di Pasaran ACE, jumlah dagangan menguncup kepada 249.04 juta unit bernilai RM91.93 juta berbanding 260.98 juta unit bernilai RM82.34 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang sebanyak 230.43 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama dan diikuti oleh produk dan perkhidmatan perindustrian (287.41 juta), pembinaan (183.44 juta), teknologi (235.36 juta), perkhidmatan kewangan (111.86 juta), hartanah (137.12 juta), perladangan (34.17 juta), amanah pelaburan hartanah (30.76 juta), dana tertutup (8,000), tenaga (167.88 juta), penjagaan kesihatan (174.44 juta), telekomunikasi dan media (43.52 juta), pengangkutan dan logistik (26.27 juta), utiliti (31.28 juta) serta amanah perniagaan (245,500).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan