BINTULU, 27 Mac (Bernama) -- Kebakaran belukar di Kuala Tatau-Serupai di Tatau, yang memasuki hari kelima berjaya dikawal apabila kira-kira 100 hektar kawasan yang terbakar berjaya dipadamkan setakat ini.
Komander Operasi Kanan Pegawai Bomba Kanan Sim Mui Chai berkata operasi hari ini tertumpu kepada pemadaman kebakaran tanah gambut serta kerja ‘mopping’ bagi mengelakkan api merebak.
Beliau berkata operasi bermula 8.50 pagi dan pemantauan udara oleh Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menganggarkan kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 300 hektar.
“Pemadaman dijalankan menggunakan dua pam angkut serta kaedah ‘fire break’. Dua jentera pengorek turut digunakan bagi pembinaan ‘fire break’ sepanjang lima kilometer,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi dialihkan pada 6.18 petang berikutan angin kencang sebelum ditangguhkan pada 7.05 malam, dan disambung semula esok dengan baki kebakaran dianggarkan melibatkan kira-kira 200 hektar.
Sebanyak 11 anggota bomba dari balai Tatau terlibat dalam operasi memadam kebakaran itu, dengan satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT), kenderaan Triton dan Land Rover, dibantu Unit Udara Bomba Miri serta agensi berkaitan, manakala tiada mangsa dilaporkan setakat ini.
Dalam kejadian berasingan di Sibu, kebakaran belukar seluas kira-kira 16 hektar berlaku di Jalan Tunku Abdul Rahman pagi tadi.
Pihak bomba menerima panggilan pada 8 pagi dan tiba di lokasi 24 minit kemudian.
Komander operasi Andy Alie berkata pemadaman menggunakan dua pam angkut dengan sumber air diperoleh dari Sungai Merah.
“Kira-kira satu hektar berjaya dipadam pada hari pertama sebelum operasi ditangguhkan pada 5 petang dan disambung esok,” katanya.
Sebanyak 10 anggota bomba dari bomba Sibu Sentral terlibat, selain sebuah jentera FRT dan kenderaan pacuan empat roda Hilux, dibantu beberapa agensi lain, termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM), tentera, polis, bomba sukarela, Sarawak Energy Berhad (SEB), Jabatan Kerja Raya (JKR), dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial