SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Tujuh kapal tangki milik syarikat Malaysia kini menunggu isyarat untuk melalui laluan selamat Selat Hormuz susulan situasi keselamatan yang tegang di rantau Asia Barat, kata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata kapal berkenaan termasuk melibatkan syarikat milik Petronas dan Sapura Energy tidak ditahan, sebaliknya menunggu masa sesuai untuk bergerak bagi memastikan pelayaran selamat.
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata kerajaan Iran telah memberi maklum balas positif terhadap permohonan Malaysia untuk membenarkan kapal-kapal berkenaan meneruskan perjalanan.
“Saya dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menghubungi rakan sejawat dan mereka memaklumkan tiada isu untuk kapal kita meneruskan perjalanan namun kapal tangki perlu tunggu giliran.
“Jadi kita nak betul-betul pastikan semuanya selamat sampai kerana Selat Hormuz amat tegang, dengan banyak kapal nak keluar. Jika komunikasi kalau tak dibuat dengan baik, akan menyebabkan insiden tidak diingini berlaku,” katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Rantau di sini hari ini.
Beliau berkata kapal berkenaan tidak ditahan, sebaliknya menunggu arahan pergerakan berikutan kekangan komunikasi dalam situasi konflik.
“Kadangkala arahan daripada Tehran tidak sampai ke Selat Hormuz kerana komunikasi dalam keadaan perang adalah mencabar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau berkata komunikasi dengan rakyat Malaysia di Iran ketika ini terhad susulan gangguan sistem komunikasi namun keadaan mereka terus dipantau.
Sementara itu, beliau berkata tiada halangan untuk menunaikan umrah berikutan ruang udara Arab Saudi masih dibuka namun orang ramai disaran menangguhkan perjalanan jika tiada keperluan mendesak.
“Jika boleh tangguh, elok ditangguhkan dalam keadaan tidak menentu ini tetapi jika persiapan telah dibuat, itu terpulang kerana penerbangan masih beroperasi seperti biasa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial