WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penunggang Motosikal Maut Dilanggar Pemandu Disyaki Di Bawah Pengaruh Alkohol, Dadah

29/03/2026 11:52 PM

SHAH ALAM, 29 Mac (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut dilanggar pemandu kereta yang berada di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam nahas di Jalan Raya Barat, Klang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Lim Jit Huey berkata insiden pada kira-kira 11.40 pagi itu mengakibatkan mangsa, iaitu seorang lelaki berusia 30-an, tercampak ke atas bumbung kereta lain dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta Honda City yang dipandu suspek, iaitu seorang lelaki berusia 20-an, menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.

“Setibanya di lokasi kejadian, pemandu itu dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melanggar motosikal mangsa.

“Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia, dan hasil saringan air kencing mendapati suspek positif alkohol serta dadah,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Lim berkata kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Susulan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan insiden berkenaan tampil untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video memaparkan insiden sebuah kereta dipandu laju memotong garisan berkembar dan merempuh sebuah motosikal sehingga mengakibatkan penunggangnya melambung sebelum tercampak ke atas kenderaan lain. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan