WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Kertas Siasatan Ahli MPPWP Didakwa Minta Wang Perlindungan Dirujuk TPR

30/03/2026 09:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mac (Bernama) -- Kertas siasatan berhubung dakwaan dua individu daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Wangsa Maju meminta wang perlindungan daripada sebuah premis perniagaan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju SAC Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya kini menunggu arahan seterusnya daripada pihak pendakwa raya berhubung tindakan selanjutnya.

“Kertas siasatan dirujuk hari ini dan kami juga telah memberikan beberapa cadangan (tindakan), namun kita perlu menunggu keputusan muktamad TPR sebelum sebarang langkah diambil,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini hari ini.

Mohamad Lazim berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan, iaitu menakutkan seseorang dengan kecederaan bagi tujuan melakukan pemerasan.

Beliau berkata setakat ini sebanyak empat saksi telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, sebuah video tular di media sosial memaparkan dua individu didakwa meminta wang perlindungan daripada sebuah pusat urut di ibu negara.

Susulan itu, tangkapan ke atas suspek dilakukan pada 26 Mac sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan